20 GRO Vietnam Ditahan

KUANTAN, 11 Mei (Bernama) — Sebanyak 51 orang termasuk 20 wanita warga Vietnam dipercayai gadis pelayan pelanggan (GRO) ditahan dalam operasi di sebuah pusat karaoke di Tanjung Gemok, Rompin tengah Sabtu malam.

Ketua Operasi dari Bahagian Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7), Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang DSP Azlihan Ishak berkata, dalam operasi kira-kira 12.15 tengah malam itu, polis turut menahan seorang remaja lelaki bawah umur.

“Kesemua wanita warga asing yang ditahan itu didapati menyalahgunakan pas lawatan sosial…hasil ujian air kencing mendapati 13 daripada mereka iaitu empat wanita warga Vietnam dan sembilan lelaki terdiri tiga pelanggan dan enam orang pekerja positif dadah,” katanya ketika dihubungi Ahad.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Rompin DSP Johari Jahaya berkata polis berjaya menumpaskan satu kegiatan judi internet yang berselindung di sebalik perniagaan kafe internet di Tanjung Gemok.

“Sebanyak 26 orang termasuk dua wanita yang berusia lingkungan 17 hingga 55 tahun ditahan dan polis turut merampas 18 unit komputer dipercayai digunakan untuk aktiviti perjudian itu,” katanya.

— BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.