KUALA LUMPUR – Laporan akhir siasatan kemalangan udara nahas pesawat Sabah Air (Double Six Tragedy) pada 6 Jun 1976 mendedahkan kemalangan yang meragut nyawa Ketua Menteri Sabah ketika itu, Tun Fuad Stephens dan 10 lain berpunca daripada kedudukan pusat graviti pesawat terbabit di luar had buritan pesawat.
Susulan laporan penuh itu mendapati tiada sebarang bukti sabotaj, kebakaran atau letupan ditemui oleh pasukan penyiasat dalam siasatan terhadap punca pesawat yang terhempas 47 tahun lalu.
Laporan pasukan penyiasat tragedi itu yang dinyahklasifikasi hari ini turut mendedahkan pesawat malang terbabit diselenggara mengikut jadual, selain melakukan penerbangan dengan had berat yang dibenarkan.
“Prosedur operasi yang dijalankan oleh juruterbang syarikat itu tidak mengikut standard profesional,” kata laporan itu pada Rabu.
Terdahulu, Kementerian Pengangkutan menyiarkan laporan penuh nahas pesawat terhempas pada 1976 menerusi sesawangnya.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, berkata proses nyahklasifikasi laporan terbabit selesai pada 6 April mengikut Seksyen 2C Akta Rahsia Rasmi 1972 sebelum ia dimuat naik untuk dilihat oleh orang awam menerusi sesawang, www.mot.gov.my.
“Di peringkat Kementerian Pengangkutan, setiap insiden penerbangan haruslah disiasat secara telus dan menyeluruh untuk menerap kepercayaan antarabangsa terhadap keupayaan Malaysia dalam membina sebuah industri penerbangan yang berkredibiliti dan menepati piawaian tertinggi.
“Kementerian Pengangkutan komited untuk meneruskan dasar keterbukaan ini,” tegas Anthony.
5 April lalu, kerajaan bersetuju menyahklasifikasikan laporan kemalangan pesawat itu yang dikenali sebagai “Tragedi Double Six”.
Dalam tragedi pada 6 Jun 1976 itu, Fuad yang baru 53 hari mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri, meninggal dunia bersama 10 yang lain, termasuk menteri kabinetnya, apabila pesawat GAF Nomad dinaiki mereka terhempas di Sembulan, Kota Kinabalu.
Mereka yang maut termasuk Menteri Kabinet Sabah, Salleh Sulong, Chong Thien Vun dan Peter Mojuntin.
Susulan kejadian itu, pengeluar GAF Nomad Australia dan Jabatan Pengangkutan Australia melancarkan siasatan untuk membuktikan bahawa nahas bukan disebabkan oleh masalah mekanikal.
Siasatan selesai kira-kira empat bulan kemudian, tetapi laporan penuh tidak didedahkan kepada umum kerana diklasifikasikan mengikut Akta Rahsia Rasmi.
Kredit foto: Wikipedia