PH Tumpang Kejayaan Tok Mat Bangunkan Negeri Sembilan – Abdul Hadi

REMBAU – Pas mengingatkan pengundi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau bahawa kerajaan Pakatan Harapan (PH) sekadar menumpang kejayaan bekas Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan yang membangunkan negeri ini.

Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, calon Barisan Nasional (BN) itu terbukti telah berjaya meningkatkan ekonomi dan kewangan negeri ini sepanjang tiga penggal menjadi menteri besar.

“Dia (Mohamad) pasti tidak akan memuji diri sendiri, tetapi dia telah tunjukkan kebolehan sebagai menteri besar. Puak-puak PH yang menang (Pilihan Raya Umum Ke-14) cuma ‘menumpang’ apa yang dia kumpul dulu.

“Ada orang datang bersyarah di sini kata Tok Mat (Mohamad) tidak buat apa-apa. Saya ingat malam ini saya akan berceramah guna lilin kerana sangka tiada elektrik (di Rantau). Janganlah cakap melampau sangat,” katanya semasa berucap dalam Ceramah Perdana di Taman Angsamas di sini malam tadi.

Yang turut hadir Mohamad yang juga Timbalan Presiden UMNO; Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri M Saravanan; Naib Presiden MCA, Datuk Seri Ti Lian Ker.

Abdul Hadi seterusnya mengingatkan pengundi DUN Rantau supaya tidak mengundi parti ‘Pak Pandir’ yang hanya tahu menyalahkan kerajaan terdahulu apabila tidak mampu menjalankan tangggungjawab sebagai kerajaan.

Beliau berkata, pilihan raya bukan perkara main-main dan ekoran segelintir rakyat berfikiran seperti itu membolehkan PH menang pada PRU-14 kerana terpedaya dengan pelbagai janji manis.

Menurut beliau, sebahagian anak muda yang kurang pengetahuan sejarah dan mudah terpengaruh itu kini telah sedar selepas mendapati kehidupan rakyat semakin susah. – UTUSAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.