Gelandangan Bina Kapal Layar

WARGA rumah perlindungan gelandangan Saint Lazarus di Warsaw, Poland bagai sudah terasa sapaan mesra bayu laut tatkala mereka mula menegakkan tiang keluli kapal layar yang dijangka mampu mengelilingi dunia apabila siap kelak.

“Saya bekerja dari pukul 7 pagi hingga 3 petang dan sanggup melanjutkan tempoh itu jika keadaan memerlukan. Cuaca cerah dalam suasana musim bunga membolehkan kerja-kerja pembinaan berjalan lancar.

“Rasanya seperti membina rumah sendiri,” ujar seorang daripada penghuni, Slawomir Michalski, 60, dengan bersemangat.

Pembinaan kapal itu sebenarnya telah bermula sedekad lalu. Ia diilhamkan seorang paderi bernama Boguslawa yang pernah berkhidmat di rumah kebajikan tersebut sebelum meninggal dunia pada tahun 2009.

Mendiang yang juga merupakan bekas pekerja di tempat membaiki kapal percaya projek itu dapat memulihkan keyakinan diri dan semangat juang penghuni Saint Lazarus untuk meneruskan hidup.

Darah daging

Dari kiri: Michal Jedyank (seorang gelandangan), Michalski dan Rzeznicki menunjukkan stereng kapal layar yang mereka bina.

Michalski bercerita, bidang pembinaan kapal telah lama menjadi darah dagingnya. Sekitar tahun 1970-an, dia bekerja sebagai jurukimpal di Gdansk yang merupakan bandar pelabuhan di Pantai Baltik.

Ketika itu, gerakan solidariti antikomunis diketuai ikon kebebasan, Lech Walesa baru dibentuk di bandar tersebut. Walesa sebenarnya bekerja sebagai juruelektrik di lapangan sama dengan Michalski.

Pemenang Hadiah Nobel Keamanan selaku pemimpin perpaduan dalam menentang blok komunis itu muncul kesatuan sekerja pertama mencetuskan demokrasi di Poland pada tahun 1989. Tokoh itu dilantik menjadi presiden setahun kemudian.

“Tugas saya meliputi kerja penyelenggaraan kapal sementara Walesa memperbaiki troli elektrik di dalam sistem kapal.

“Kami bekerja dan melancarkan mogok bersama-sama semasa era tersebut. Namun, saya kemudiannya meninggalkan segala-galanya dan mengakhiri nasib saya sebagai gelandangan,” imbaunya.

Michalski sebelum ini sering keluar masuk ke rumah perlindungan yang terletak di barat daerah Ursus itu sejak 2009 ekoran masalah ketagihan alkohol yang dialaminya. Begitupun, menjadi sebahagian daripada projek pembinaan kapal itu meningkatkan moralnya.

Premis kebajikan tersebut diuruskan gereja Roman Katolik. Ia mampu memuatkan 100 penghuni lelaki berusia 40 tahun ke atas. Namun, mereka bersedia membentang tilam tambahan di atas lantai pada musim sejuk.

“Pada mulanya, ramai orang tertanya-tanya adakah kami gila melakukan perkara ini. Ia dianggap perkara tidak masuk akal.

“Begitupun, apabila melihat perkembangan pembinaan kapal ini tahun demi tahun, mereka terlopong dan mengatakan ia sebagai satu idea yang hebat,” luah Michalski.

Kapten kapal, Waldemar Rzeznicki berkata, kejayaan projek tersebut bukan sahaja bergantung kepada kerja keras penghuni rumah perlindungan malah mereka amat berterima kasih kepada penderma daripada syarikat korporat.

Disewakan

Dek kapal diperbuat daripada besi keluli dengan panel kaca.

Pembina kapal, Bogdan Malolepszy mendermakan pelan induk model kapal tu sementara ada beberapa firma menyumbang logam, kabel, cat dan bekalan lain yang diperlukan.

“Apabila siap kelak panjangnya ialah kira-kira 19 meter. Ia dijangka bersedia untuk beroperasi dalam tempoh dua tahun dan dapat memuatkan kira-kira 12 anak kapal.

“Selepas membawa kesemua orang yang membinanya, ia akan disewakan,” katanya yang setia menyelia kerja-kerja pembinaan tersebut tanpa mengira waktu.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif syarikat perkhidmatan pelayaran, Tadeusz Wojtowicz sedang mempertimbangkan untuk menjahit 170 meter persegi kain layar secara percuma.

“Jika mereka mempunyai kekuatan untuk melaksanakan projek tersebut kita harus menyokongnya. Apabila seseorang mempunyai motivasi yang betul mereka boleh mencapai sesuatu yang hebat,” katanya.– AFP/Kosmo

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.