Semangat Berpasukan Dalam ‘Ola Bola’ Wajar Dicontohi – Sultan Nazrin

IPOH – Penerbitan filem pecah panggung ‘Ola Bola’ mendapat pujian Sultan Perak Sultan Nazrin Shah yang bertitah karya itu wajar dijadikan inspirasi mengenai semangat berpasukan.

 

Baginda bertitah penganjur dan mereka yang bergiat aktif dalam aktiviti sukan serta rakyat keseluruhannya wajar mengambil pengajaran daripada filem tersebut.

 

“Jadikan sumber inspirasi, jalan cerita yang terkandung dalam filem Ola Bola, betapa semangat pengorbanan, semangat berpasukan, semangat setia kawan dan semangat kenegaraan yang tinggi berjaya disemai melalui sukan,” titah baginda.

 

Sultan Nazrin bertitah demikian pada istiadat pembukaan rasmi Mesyuarat Pertama, Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri Perak Ke-13 di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini Selasa.

 

Filem terbitan Astro Shaw arahan Chiu Keng Guan itu mengisahkan kegemilangan pasukan bola sepak negara yang layak ke Sukan Olimpik di Moscow pada 1980.

 

Walaupun tidak dibarisi pelakon yang mempunyai nama besar, Ola Bola berjaya mengutip RM12 juta hanya untuk tempoh 18 hari tayangan bermula 28 Januari lalu.

 

Sultan Nazrin bertitah aktviti dan kegiatan sukan dapat menyemai budaya hidup sihat, semangat persaingan, semangat mahu mencipta kejayaan lebih tinggi, mengikis perasaan riak selain berupaya memupuk semangat persefahaman.

 

Sementara itu baginda bertitah kerajaan negeri Perak menyediakan beberapa jenis bantuan kepada pelajar yang berhasrat dan layak melanjutkan pelajaran ke peringkat pengajian tinggi.

 

Titah baginda, pada tahun lalu sermai 14,407 pelajar di Perak menerima bantuan dengan jumlah peruntukan sebanyak RM11.62 juta selain kerajaan negeri menawarkan pinjaman pendidikan ke institusi pengajian tinggi kepada 500 orang pelajar melibatkan peruntukan RM7 juta.

 

Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak turut menyediakan biasiswa pelajaran di bawah Asnaf Fisabilillah untuk pelajar mengikuti pengajian peringkat ijazah Sarjana Muda di luar negara.

 

“Pada 2015 seramai 837 pelajar diberi biasiswa melibatkan perbelanjaan RM7.5 juta sementara RM4.2 juta diberikan kepada 1,164 pelajar yang mengikuti pengajian di dalam negara,” titah Sultan Nazrin – BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.