Rahman Dedah Soalan Debat Untuk Guan Eng

KUALA LUMPUR – Pengarah Komunikasi Strategik Barisan Nasional (BN), Datuk Abdul Rahman Dahlan mendedahkan soalan-soalan yang memerlukan jawapan dari Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng dalam sesi debat yang dijangka diadakan tidak lama lagi.

 

Dalam posting di Facebook beliau malam tadi, Ahli Parlimen Kota Belud itu menyenaraikan sejumlah 15 persoalan untuk dileraikan Guan Eng.

 

Ujar Abdul Rahman, ia adalah sebagai persediaan agar Guan Eng bersedia dengan jawapan sementara beliau sedang dalam lawatan ke luar negara ketika ini.

 

“Terangkan mengapa permohonan untuk cadangan (RFP) Taman Manggis telah dianugerahkan kepada Kuala Lumpur International Dental Centre (KLIDC) apabila pernyataan audit untuk KLIDC Sdn Bhd bagi tahun itu telah menyatakan KLIDC mempunyai aset negatif, termasuk ‘penekanan perkara-perkara’ oleh juruaudit yang menyatakan bahawa wujud keraguan yang ketara sama ada syarikat itu boleh diteruskan,” soalnya.

 

“Mengapa anda beralasan bahawa Tanah Taman Manggis terlalu kecil untuk k blok 17 tingkat rumah pangsa tetapi selepas RFP dianugerahkan kepada KLIDC, ia cukup besar untuk sebuah kompleks 30 tingkat dan pusat perubatan?

 

“Adakah anda bersetuju bahawa nilai komersil tanah Taman Manggis akan meningkat dengan ketara selepas kerajaan negeri mengubah syarat-syarat penggunaan tanah dari 100 peratus pusat perubatan kepada sebuah kompleks bertingkat tinggi dengan 30 tingkat yang terdiri daripada hotel 70 peratus/ pangsapuri perkhidmatan dan 30 peratus pusat perubatan hanya setahun selepas RFP dianugerahkan kepada KLIDC,” soalnya lagi.

 

Soalan lain adalah berkenaan dengan tindakan kerajaan negeri Pulau Pinang masih memberi kelulusan perancangan dan pembangunan untuk KLIDC, walaupun KLIDC menunjukkan aset bersih negatif, sifar pekerja dan tiada pendapatan.

 

Abdul Rahman dalam pada itu turut menyoal sama ada Guan Eng akan memohon maaf kepadanya kerana telah memanggil beliau ‘Menteri Khabar Angin’ apabila pemilik KLDIC Datuk Tang Yong Chew telah mengesahkan bahawa perjanjian jual sememangnya telah ditandatangani.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.