Polis Tembak Mati Tiga Penyamun Bersenjata Di Highland Towers

AMPANG – Polis menembak mati tiga penjenayah dipercayai suspek kes samun bersenjata dalam satu serbuan di sebuah blok tinggal di Kondominium Highland Towers di sini, pagi tadi.

 

Bagaimanapun, tiga lagi rakan mereka berjaya meloloskan diri dalam serbuan oleh sepasukan anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor bersama Polis Daerah Ampang, kira-kira jam 5 pagi.

 

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Datuk Adnan Abdullah berkata penjenayah berkenaan dikesan menjadikan sebuah bilik kosong di tingkat 1, Blok C kondominium berkenaan sebagai tempat persembunyian sebelum melakukan samun.

 

Jelasnya, polis percaya mereka merancang untuk melakukan samun ke atas sebuah kediaman berhampiran.

 

Hasil risikan polis bagaimanapun berjaya mengesan kesemua enam suspek berada di kondominium tinggal itu, jam 12.30 tengah malam tadi.

 

Beliau berkata , satu operasi dirancang untuk menangkap mereka namun ketika serbuan, suspek cuba melarikan diri ke arah hutan di bahagian belakang kondominium menyebabkan polis terpaksa melepaskan beberapa das tembakan dan mengenai tiga daripada mereka.

 

Adnan berkata, hasil pemeriksaan menemui sepucuk ‘air’ pistol, sebilah parang, sebilah celorek, beberapa alat mengumpil, topeng muka dan sarung tangan di lokasi berkenaan.

 

Kumpulan ini yang aktif sejak lebih dua tahun lalu dipercayai terbabit sekurang-kurangnya dengan 26 kes samun di sekitar Selangor membabitkan kerugian  RM545,900.

 

Buat masa ini, polis belum dapat memastikan identiti mereka kerana tiada dokumen pengenalan diri ditemui, namun suspek yang ditembak mati dianggarkan berusia dalam lingkungan 30an.

 

Beliau berkata, polis kini menggerakkan operasi memburu baki tiga lagi suspek yang melarikan diri ke kawasan hutan Bukit Antarabangsa dengan bantuan Polis Gerakan Am dan unit anjing pengesan K9. – Awani

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.