Pelantikan Undang Luak Jelebu Tidak Sah?

JELEBU – Komuniti adat di Luak Jelebu belum boleh menarik nafas lega meskipun nama Undang Luak Jelebu berkenaan yang baharu telah diisytiharkan pada Jumaat lalu.

 

Ini kerana Buapak Yang Empat Waris Dato’ Menteri tetap dengan pendirian bahawa Mat Tarmizi Selamat telah dipecat sebagai Pemegang Pesako yang bergelar Dato’ Menteri Sah Mangku Alam Raja Sehari sejak 28 Mac lalu.

 

Antara fungsi dan tanggungjawab Dato’ Menteri adalah mengisytiharkan nama Undang Luak yang baharu.

 

Ismail Mohd. Zain yang mendakwa telah dipilih sebagai Dato’ Menteri yang baharu berkata, pemeca­tan itu adalah muafakat semua Ibu Soko, Buapak Yang Empat dan Anak Buah Waris Dato’ Menteri dalam kerapatan yang diadakan pada 24 dan 25 Mac lalu.

 

“Bermula daripada tarikh tersebut, Mat Tarmizi tidak dibenarkan sama sekali mengurus, mengendali serta mencampuri urusan adat istiadat di dalam Luak Jelebu.

 

“Semua tindakan yang dibuat oleh beliau yang berlaku di Balai Undang Luak Jelebu pada 8 April lalu adalah menyalahi amalan adat Luak Jelebu dan tidak diperakui sah oleh Kepala Adat luak ini,” katanya dalam sidang akhbar di Kuala Klawang dekat sini semalam.

 

Yang turut hadir, tiga Buapak Waris Menteri, Tok Lela Raja Mohd. Nor Yaakob, Tok Beremban Muha­mad Azmi Abdul Aziz dan Tok Amar Pahlawan Abdul Rahman Adam.

 

Dalam majlis pengisytiharan Jumaat lalu, Mat Tarmizi telah meng­umumkan nama Undang Luak yang ke-16, Muhamad Azafean Muhamad Fahmi, 39.

 

Majlis itu turut dihadiri lima da­ri­­pada lapan Ahli Tiang Balai Dato’ Lembaga adat Luak Jelebu.

 

Ismail enggan mendedahkan se­bab pemecatan Mat Tarmizi dengan alasan tidak mahu mengaibkan beliau dan surat pelucutan jawatan itu telah diserahkan kepada Mat Tarmizi pada pukul 7 pagi 28 Mac lalu.

 

Beliau juga menafikan pemecatan itu dibuat kerana pihaknya mempunyai calon lain bagi jawatan Undang Luak Jelebu.

 

Ditanya mengenai tindakan selanjutnya, beliau berkata, pihaknya hanya mahu membuat pemakluman mengenai status jawatan adat Mat Tarmizi dan telah menghantar surat mengenainya kepada Dewan Keadilan dan Undang Negeri Sembilan. – Utusan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.