Makan Kek Biji Popi Bakal Didakwa

KUALA LUMPUR – Orang ramai dinasihatkan agar lebih berhati-hati apabila membeli kek yang mengandungi kandungan biji popi (benih ganja) bagi mengelakkan termakan kek yang mengandungi dadah.

 

Jika air kencing pembeli diuji, hasil ujian air kencing mereka akan didapati positif dadah dan mereka boleh ditahan mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya kerana memasukkan dadah di dalam badan kata Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Kuala Lumpur, Senior Asisten Komisioner Wan Abdullah Ishak.

 

Menurutnya, kesalahan itu jika disabitkan, boleh dikenakan hukuman maksimum penjara tidak kurang dua tahun atau denda tidak lebih RM5,000.

 

“Walaupun individu itu boleh berkata mereka tidak mengambil dadah tetapi kandungan biji popi yang terdapat dalam kek itu boleh menyebabkan mereka yang merasakan dirinya tidak bersalah itu, didakwa kerana dadah,” katanya.

 

Beliau berkata sejak minggu lalu, polis mengesan terdapat pengusaha kek di ibu kota, meletakkan biji popi di atas kek mereka dan dijual kepada umum, untuk melariskan jualan perniagaan mereka.

 

Sehubungan itu, pihaknya berkata, polis menjalankan ujian saringan terhadap biji popi tersebut dan hasil ujian mendapati bahan kek berkenaan positif dadah jenis morfin.

 

“Kami dapati sepotong kek itu dijual dengan harga RM13 dan mereka secara terang-terangan menamakan kek itu dengan pelbagai rasa termasuk ‘Lemon Poppy Seed’.

 

“Pembeli yang memakan kek berkenaan dalam kuantiti yang banyak akan menjadi khayal,” katanya memetik laporan Bernama.

 

Beliau berkata perbuatan itu menjadi kesalahan mengikut Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana dengan hanya memiliki kurang daripada 5 gram biji ganja dari pokok popi boleh dikenakan hukuman penjara maksimum lima tahun dan denda RM20,000.

 

Bagaimanapun, menurutnya, masih terlalu awal untuk mengambil tindakan terhadap pembekal atau penjual kek itu kerana pihaknya sedang menjalankan siasatan yang lebih terperinci.

 

Malah, beliau berkata polis akan menjalankan ujian lanjut di Jabatan Kimia Malaysia untuk menentukan kesahihan sama ada bahan yang terkandung dalam kek itu benar-benar dadah atau sebaliknya.

 

Biji popi atau dikenali biji kas-kas di Malaysia merupakan bahan yang digunakan untuk tujuan masakan dan turut dipakai secara meluas dalam bahan masakan di beberapa negara di Eropah, Timur Tengah dan India.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.