Dr. Zakir Dibenar Teruskan Ceramah Di Melaka – TPM

PUTRAJAYA – Kerajaan mengambil keputusan untuk membenarkan penceramah, Dr. Zakir Naik meneruskan ceramah beliau di Melaka pada 17 April ini dengan syarat, program tersebut ditukar namanya.

 

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, tindakan pihak polis membatalkan ceramah bertajuk ‘Similarities Between Hinduism and Islam’ itu sebelum ini adalah berdasarkan aduan bukan sahaja daripada masyarakat beragama Hindu tetapi juga daripada pemimpin agama Islam.

 

“Kerajaan memutuskan ada kompromi dan berbincang dengan Ketua Menteri Melaka untuk ceramah itu diteruskan dengan tajuk yang lain,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Lab Panel Majlis Perundingan Islam di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini hari ini.

 

Yang turut hadir, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom dan Timbalannya, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki.

 

Polis semalam tidak membenarkan pe­nganjuran forum dengan nama tersebut yang menampilkan Dr. Zakir di Dewan Besar Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) pada 17 April ini.

 

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar menegaskan, program tersebut dikhuatiri boleh mengancam ketenteraman dan ke­selamatan negara kerana menyentuh sensitiviti agama.

 

Jelasnya, program seumpama itu juga tidak mendatangkan kebaikan kepada masyarakat yang terdiri daripada pelbagai kaum dan agama. – UTUSAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.