“Tiada Asas Tuduh Saya Tanggung Suami” – Yana Samsudin

PETALING JAYA – Pelakon Yana Samsudin menjelaskan tuduhan kononnya dia menanggung kehidupan suaminya, Fadzil Zahari sejak berkahwin adalah salah faham dan tuduhan yang tidak mempunyai asas kukuh.

 

Yana atau nama sebenarnya Norliana Samsudin, 31, berkata, perkara itu timbul mungkin disebabkan latar belakang sebenar suaminya tidak pernah didedahkan selain Fadzil lebih dikenali sebagai adik kepada aktor Farid Kamil.

 

“Dakwaan itu tidak benar kerana dia mempunyai pendapatannya sendiri dan dia sebenarnya seorang yang bijak dalam perniagaan.

 

“Pada saya salah faham itu timbul kerana dia jarang menonjolkan latar belakangnya selain orang mengenali dia sebagai adik kepada Farid Kamil,” ujarnya kepada mStar Online.

 

Yana ditemui pada majlis sidang media pelancaran program Qu Puteh Bintang Bersama Bintang di Hotel Empire di sini pada Khamis lalu.

 

Pelakon itu bakal bertindak sebagai hos program yang bakal bersiaran bermula Ahad ini pada pukul 9 malam di TV3 bersama AG (Hot FM).

 

Dalam pada itu, Yana berkata, Fadzil mempunyai sebuah syarikat iaitu Prokuya Studios, sebuah agensi pengiklanan dan pengurusan bakat yang dibangunkan sejak beberapa tahun lalu.

 

Jelas Yana, sikap merendah diri Fadzil membuatkan segelintir pihak salah faham dengan peranan sebenar dia yang dilihat kerap bersamanya di majlis-majlis hiburan.

 

“Saya faham apabila orang selalu nampak dia bersama saya pasti mereka akan tertanya-tanya apakah pekerjaan sebenar Fadzil?

 

“Tetapi dia seorang yang merendah diri dan tidak terlalu menonjol. Pada masa sama, dia sebenarnya sentiasa sibuk menguruskan syarikatnya itu,” kata Yana.

 

Sementara itu, Yana berkata, dia tidak berhasrat untuk bernaung di bawah syarikat suami bagi menguruskan kerjaya seninya kerana enggan mencampur-adukkan hal profesional dan peribadi yang mungkin akan memberi kesan kepada ikatan suami-isteri di antara mereka.

 

Jelas Yana, biarpun Fadzil ada membuat cadangan itu tetapi dia menolak dengan baik selain lebih selesa menguruskan kerjayanya sendiri.

 

“Biarlah dia hanya menjadi suami saya dan bukannya terlibat secara profesional dalam kerjaya kerana saya bimbang ia akan memberi kesan kepada hubungan kami nanti.

 

“Saya juga kini selesa menguruskan sendiri karier saya namun saya terbuka dalam menerima pendapat daripada suami berhubung kerjaya saya,” katanya.

 

Yana dan Fadzil bernikah pada 13 Februari lalu. – Mstar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.