Safee Kembali Bersama Red Giants?

HARAPAN peminat Selangor untuk melihat Safee Sali kembali menyarung jersi Merah Kuning mungkin bakal menjadi realiti apabila difahamkan akan kembali semula ke pangkuan Gergasi Merah mengharungi saingan Liga Malaysia (Liga-M) musim ini.

 

Walaupun tidak disahkan Pengurus Selangor, Amirudin Shari ketika ditanya mengenai dakwaan tersebut, beliau yang juga Exco Pembangunan Generasi Muda, Sukan, Kebudayaan dan Pembangunan Usahawan Negeri Selangor juga tidak menafikan apabila ditanya adakah nama bekas penyerang kelab Pelita Jaya itu tersenarai dalam perancangan mereka menjelang tarikh tutup pintu perpindahan pemain 28 April ini.

 

Sebaliknya, Amirudin hanya berkata, mereka tidak boleh mendedahkan kesemua perancangan yang diatur kepada umum.

 

“Strategi tak boleh didedahkan semua, lagipun tarikh perpindahan pemain akan tamat pada 28 April, jadi kita masih ada masa dan semua cadangan akan dipertimbangkan.

 

“Apa pun, setakat malam ini, barisan Selangor kekal. Kalau selepas ini ada perubahan, kita akan umumkan,” katanya ketika ditemui selepas majlis Anugerah Sukan Selangor 2014, kelmarin.

 

Pada majlis itu, penerjun akuatik Chew Yi Wei dan atlet karate Syakilla Salni Jefry Krosnan, masing-masing dipilih sebagai Olahragawan dan Olahragawati Selangor 2014.

 

Selepas enam perlawanan, Selangor yang meraih tiga kemenangan, dua seri dan sekali tewas kini berada di tangga ketiga liga dengan 11 mata. – Sinar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.