BN Perlu Tembak Sebelum Pembangkang – Muhyiddin

Bukit Mertajam – Barisan Nasional (BN) akan memberi penerangan dan penjelasan berterusan berhubung pelaksanaan cukai barang dan perkhidmatan (GST) sepanjang pilihan raya kecil Parlimen Permatang Pauh.

 

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, pihaknya yakin GST akan menjadi sebahagian daripada isu utama yang akan dibangkitkan pakatan pembangkang sepanjang tempoh berkempen kelak.

 

“Walaupun (jika) pembangkang tidak membawa isu ini, kami akan turun ke bawah memberi penerangan.

 

Dalam lawatan saya di pasar awam Seberang Jaya pagi tadi, ramai yang masih bertanya, belum jelas, tidak faham dan ada juga yang tidak suka.

 

“Kita telah menjelaskan sebab dan tujuan kita memperkenalkan GST. Ini adalah sistem percukaian yang agak lebih kemas, tersusun dan juga baik. Malaysia adalah antara negara yang agak terakhir dalam memperkenalkan GST,” katanya pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat bersama Umno dan BN negeri di sini, hari ini.

 

Muhyiddin yang juga Timbalan Pengerusi BN berkata, setiap aduan yang dikemukakan rakyat berhubung pelaksanaan GST akan diberi perhatian sewajarnya.

 

“GST juga akan menjadi perkara pokok bagi BN sepanjang kempen pilihan raya kecil Permatang Pauh,” katanya.

 

Sementara itu, ketika berucap pada majlis perjumpaan khas bersama kepimpinan Umno bahagian, komponen BN, ketua-ketua cawangan dan ketua-ketua pusat daerah mengundi Parlimen Permatang Pauh, Muhyiddin menyeru jentera parti supaya menggunakan kebijaksanaan dan cara yang berhemah dalam memberi penerangan kepada pengundi.

 

“Kita nak menggerakkan jentera-jentera kita ini. Jangan kita tidak tahu ini adalah situasi perang. BN mesti menang. Sesuatu yang kita nak buru ialah musuh kita. Kita bukan memburu dengan peluru tetapi dengan kebijaksanaan. Bila bercakap mesti dengan teratur.

 

“Mereka (pengundi) akan kemukakan kepada kita berbagai-bagai soalan. Inilah masanya untuk kita memberi penerangan yang betul. Kita harus bersedia untuk memberi penerangan dan penjelasan yang boleh diterima. Setiap satu isu meletakkan satu tanda soal dalam pemikiran pengundi,” katanya.

 

Beliau berkata, jentera parti harus memainkan peranan memberi penerangan satu persatu dari rumah ke rumah agar pengundi mendapatkan penjelasan tepat berhubung sesuatu isu itu.

 

Muhyiddin berkata, jentera parti juga perlu bergerak selangkah ke hadapan daripada pembangkang dalam menangani isu yang dibangkitkan.

 

“Jangan kita jadi ‘defensive’. Kita kena tembak dulu sebelum mereka (pembangkang) tembak. Seeloknya kita buat persiapan awal,” katanya. – Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.