Pengurus Manchester United Macam Syaitan, Kata Maradona

LONDON – Legenda bola sepak Argentina, Diego Maradona menyamakan Louis van Gaal dengan ‘syaitan’ ekoran layanan pengurus Manchester United itu terhadap bintang penyerang Colombia, Radamel Falcao.

 

United menyangka mereka telah membuat keputusan terbaik apabila meminjam khidmat penyerang itu dari Monaco untuk satu tempoh yang panjang.

 

Falcao tiba di Old Trafford dengan membawa rekod jaringan yang mengagumkan, namun sepanjang lapan bulan lalu, dia sekadar menjaringkan empat gol bersama United.

 

Pemain berusia 29 tahun itu diletakkan di bangku simpanan dalam lima perlawanan terakhir dan perkembangan tersebut nyata tidak disenangi oleh Maradona.

 

Bekas penyerang dan jurulatih Argentina itu ketika ditemui dalam sidang akhbar untuk mempromosikan perlawanan amal di Bogota, Colombia secara terbuka mengkritik, Van Gaal kerana kelemahannya mengendalikan calon Ballon d’Or dua kali, Falcao.

 

“Van Gaal bukan seorang lelaki yang baik. Dia sudah menghampiri ‘syaitan’,” katanya, merujuk soalan yang diajukan wartawan berhubung cara jurulatih kelahiran Belanda itu mengendalikan Falcao.

 

Maradona yang membuat lawatan ke Old Trafford bagi menyaksikan kekalahan United kepada Liverpool tahun lalu percaya, Falcoa yang baharu pulih daripada kecederaan lutut yang serius pastinya mengharungi detik sukar untuk bangkit, terutama dalam bola sepak Inggeris.

 

Pemain itu tidak tersenarai dalam skuad Piala Dunia Colombia sejak mengalami kecederaan pada bulan Januari lalu dan menyebabkan prestasinya terbantut sejak menyertai United.

 

“Radamel tidak mempunyai banyak masa sejak pulih daripada kecederaan dan dia perlu pula menyesuaikan diri dengan corak permainan yang baru,” katanya lagi.

 

Falcao mungkin berpotensi diletakkan di bangku simpanan sekali lagi apabila United menerima kunjungan Manchester City.

 

United mempunyai pilihan untuk membeli penyerang itu dengan nilai 43.2 juta pound (RM231 juta) pada musim panas ini, tetapi jika dilihat daripada segi prestasi Red Devils setakat ini, mereka mungkin tidak akan membelinya. – AGENSI/UTUSAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.