Pelajar Bersyukur Kerajaan Bantu Bawa Pulang Dari Yaman

SEPANG – “Syukur atas keprihatinan kerajaan kerana membawa kami pulang sebelum krisis dan pergolakan di Yaman bertambah buruk,” kata Mohd Syafiq Mohd Nasrun yang tiba di tanah air malam tadi.

 

Pelajar Pengajian Islam itu adalah antara 94 rakyat Malaysia yang selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada jam 11.25 malam dengan menaiki pesawat Oman Air dari Muscat.

 

Mohd Syafiq, 19, berkata walaupun keadaan di Hadramaut terkawal berbanding di Sana’a dan Aden namun penduduk menghadapi sedikit masalah seperti sistem telekomunikasi dan bekalan makanan terhad.

 

“Usaha kerajaan membawa balik rakyat Malaysia di negara bergolak itu adalah tepat bagi memastikan rakyat Malaysia di sana selamat dan tiada yang terkandas di negara itu sekiranya pergolakan itu merebak,” katanya yang berasal dari Baling, Kedah kepada pemberita ketika ditemui di KLIA malam tadi.

 

Pelajar jurusan syariah, Sara Izzati Saiful, 20, juga berterima kasih kepada kerajaan yang berusaha memindahkan rakyat Malaysia dari negara bergolak itu dengan menyediakan kemudahan dan makanan sepanjang perjalanan dari Tarim ke Malaysia.

 

Walaupun kami terpaksa menaiki bas selama 10 jam dari Tahrim ke Oman tetapi kami bersyukur kerana sepanjang perjalanan kami selamat, tempat yang selesa dan makanan yang sedap turut disediakan,” katanya.

 

Suami Sara Izzati, Muhamad Amin Izammuddin, 22, berkata masalah mengeluarkan wang dari bank dan juga bekalan petrol yang terhad telah mendesak rakyat Malaysia di Tarim, khususnya yang tinggal di luar asrama untuk pulang ke tanah air.

 

“Selain itu, kami juga berdepan kesukaran untuk berurusan dengan Kedutaan Malaysia di Yaman kerana ia ditutup dan dipindahkan ke Oman berikutan pergolakan,” katanya.

 

Malam tadi, seramai 94 rakyat Malaysia yang dipindahkan keluar dari Yaman tiba di tanah air pada 11.25 malam dengan menaiki Oman Air. Selain itu, seorang rakyat Singapura dan Yaman turut menyertai kumpulan itu. Ini merupakan kumpulan pertama rakyat Malaysia yang dibawa keluar dari Tarim yang keadaan di situ lebih terkawal.

 

Sementara itu, Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob turut hadir menyambut ketibaan kumpulan itu dengan anak beliau, Irsyad Abdul Hakim Ahmad merupakan seorang daripada pelajar yang dibawa pulang.

 

Dalam ucapan ringkas kepada rakyat Malaysia, Ahmad turut mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Persekutuan di atas usaha membantu membawa pulang rakyat Malaysia di Yaman.

 

Sehingga malam tadi, Wisma Putra berkata sebanyak 252 rakyat Malaysia telah dibawa pulang sejak 7 April berikutan pergolakan yang semakin meruncing di Yaman. Pada 6 April, Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata kerajaan berharap rakyat Malaysia yang berada di Yaman memberi kerjasama sepenuhnya untuk dibawa pulang memandangkan keadaan di negara itu masih membimbangkan.

 

Keadaan di Yaman bergolak selepas tentera Arab Saudi yang disertai tentera pakatan Teluk melancarkan operasi ketenteraan bagi menyelamatkan pemerintahan Presiden Abedrabbo Mansour Hadi daripada konflik perang saudara. – BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.