Mayat Bayi Tanpa Kepala Ditemui Tertanam

TAWAU: Kelibat seekor anjing menarik satu bungkusan plastik, membawa kepada penemuan mayat bayi tanpa kepala yang tertanam di Kampung Titingan, di sini, petang tadi.

 

Mayat bayi dalam keadaan bogel dengan sebahagian anggota badannya telah tiada dipercayai akibat dimakan anjing, ditemui oleh penduduk kampung berkenaan pada kira-kira jam 3.30 petang.

 

Difahamkan, mayat bayi itu dipercayai tertanam di celah timbunan sampah di situ lebih 24 jam berdasarkan keadaan mayat yang kembung.

 

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Awang Besar Dullah, berkata mayat itu ditemui oleh seorang pemuda berusia 23 tahun selepas ternampak seekor anjing menarik satu bungkusan dalam keadaan mencurigakan.

 

“Lelaki terbabit kemudian menghampiri bungkusan itu dan terkejut melihat mayat bayi tertanam bersama plastik berkenaan. “Jantina bayi bagaimanapun tidak diketahui memandangkan mayat dalam keadaan tertiarap, selain usia sebenarnya juga masih belum dapat dipastikan,” katanya ketika dihubungi di sini.

 

Sehubungan itu, beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kes terbabit supaya menghubungi polis bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan. – BHarian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.