LIMA’15 Nafi Abai Kebajikan Keluarga Mangsa Nahas

KUALA LUMPUR – Penganjur Pameran Udara dan Maritim Antarabangsa Langkawi (Lima) 2015 tidak pernah mengabaikan kebajikan mangsa yang terlibat dengan insiden nahas pesawat Lima’15, Zulkeflee Abu Mutalib.

 

Pengarah Urusan Lima’15, Ahmad Dzuhri Abd Wahab berkata, tempat perlindungan seperti rumah sewa, kelengkapan seperti uniform sekolah dan wang pampasan sudah disalurkan kepada Zulkeflee dan keluarganya.

 

“Kami sudah sediakan rumah sewa atas pilihan encik Zul sendiri. Kami beri wang pampasan, kelengkapan sehingga RM5000.

 

“Cuma, apa yang kami minta supaya diberikan masa untuk menyiapkan rumah seperti yang dimahukan oleh encik Zul,” katanya kepada media, hari ini.

 

Zulkeflee sebelum itu mendakwa pihak penganjur Lima’15 melambatkan proses pembinaan rumah yang dijanjikan kepadanya.

 

Ditanya mengenai peruntukan bagi kos pembinaan kediaman baharu menggantikan kediaman asal Zulkeflee, Ahmad Dzuhri berkata, pihaknya masih mengkaji peruntukan sesuai untuk rumah tersebut.

 

Ini kerana peruntukan baharu perlu diselaraskan dengan pelan pembinaan rumah yang dikemukakan oleh Zulkeflee sendiri.

 

“Berdasarkan pelan rumah pasang siap, memang kami sudah tentukan jangka masa siap dan peruntukan rumah tersebut.

 

“Bila beliau (Zulkeflee) tidak mahu pelan tersebut dan meminta kami membina rumah seperti yang dimahukan, kami perlu selaraskan semula dan rancang peruntukan baharu,” katanya lagi.

 

Kediaman Zulkeflee musnah sepenuhnya apabila salah sebuah pesawat Jupiter yang menjalani latihan aerobatik sempena dengan Lima’15 mengalami kemalangan di udara sebelum merempuh rumahnya. – Sinar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.