Penjawat Awam Perlu Dikurangkan, Kaji Swastakan Jabatan Kerajaan – Dr Mahathir

KUALA LUMPUR – Dr Mahathir Mohamad berkata, kerajaan sedang mengkaji kaedah sesuai mengurangkan jumlah penjawat awam yang terlalu ramai dengan memindahkan mereka ke sektor swasta.

“Kita sedang meneliti untuk tentukan apabila kehilangan jawatan dalam kerajaan, apakah mereka dapat pindah kepada pihak lain di swasta,” katanya di lobi Parlimen hari ini.

“Ada beberapa jabatan dalam kerajaan seperti mana kita lakukan kepada Telekom dulu. Kita pindah, jadikan Telekom swasta dan kita pindahkan pekerja-pekerja, ini pilihan mereka.”

Perdana menteri berkata, kerajaan menyediakan pilihan kepada penjawat awam untuk berpindah ke syarikat swasta.

“(Misalnya) kalau mereka nak masuk Telekom semua boleh atau nak kekal dalam kerajaan juga boleh, tetapi ada syaratnya.

“Kalau dia nak kekal dalam kerajaan, dia kena terima gaji dalam kerajaan, tetapi kalau dia lihat gaji dalam Telekom lebih tinggi, dia tak ada hak.”

Pada 21 Februari lalu, Mahathir dilaporkan berkata, penjawat awam di negara ini terlalu ramai dan ia perlu dikurangkan dengan digantikan teknologi maklumat serta komputer.

Katanya, 1.7 juta penjawat awam ketika ini menyebabkan kerajaan terpaksa menanggung perbelanjaan besar.

Terdahulu, Mahathir dalam Dewan Rakyat berkata, dasar penswastaan nasional yang berusia 36 tahun masih relevan untuk menangani masalah penjawat awat terlalu ramai.

Melalui dasar yang diperkenalkan pada 1983 itu, katanya, kerajaan antara lain berjaya mengurangkan beban kewangannya, meningkatkan pertumbuhan ekonomi, kecekapan dan produktiviti kerja serta memastikan pengagihan sumber secara cekap.

Beliau memberi contoh penswastaan Telekom, di mana kakitangannya dipindahkan ke sebuah syarikat swasta yang menyaksikan pengurangan jumlah penjawat awam dan gaji lebih baik bagi pekerja.

Katanya, kerajaan sedar pengurangan jumlah penjawat awam akan menimbulkan masalah pengangguran yang seterusnya menyebabkan masalah sosial.

“Ini sebabnya kita perlu membangunkan, contohnya, industri pembuatan supaya lebih ramai boleh beralih daripada bekerja dengan kerajaan ke sektor swasta.”

Beliau berkata, ia mampu meningkatkan produktiviti mereka berbanding menjadi penjawat awam. – FMT

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.