Mangsa Pencemaran Bahan Kimia Di Johor Meningkat Kepada 209 Orang

JOHOR BAHRU – Bilangan mangsa pencemaran bahan kimia yang dibuang di Sungai Kim Kim, Pasir Gudang pada Khamis lalu kini meningkat menjadi 209 orang keseluruhannya setakat pukul 11 malam tadi.

Pengarah Kesihatan Negeri Johor, Dr. Selahuddeen Abd. Aziz berkata, pertambahan itu merupakan gelombang kedua yang bermula tengah hari semalam dengan majoriti kes melibatkan pelajar Sekolah Kebangsaan (SK) Pasir Putih dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pasir Putih.

“Sehingga sebelum tengah hari 11 Mac 2019, jumlah keseluruhan pesakit yang terkesan akibat kejadian ini adalah 103 orang di mana kebanyakan pesakit telah dibenarkan pulang dan hanya 25 orang masih dalam pemantuan di Hospital Sultan Ismail (HSI) di Johor Bahru termasuk dua pesakit di Unit Rawatan Rapi (ICU).

“Namun begitu, pada tengah hari 11 Mac 2019 didapati insiden gelombang kedua berlaku. Sehingga pukul 11 malam tadi, 29 orang dihantar ke klinik kesihatan berhampiran untuk pemeriksaan lanjut manakala 77 mangsa dirujuk ke HSI di mana 35 orang dimasukkan ke hospital untuk rawatan lanjut.

“Daripada 35 orang tersebut, empat pesakit dimasukkan ke ICU. Dengan 16 pesakit daripada gelombang pertama yang dibenarkan pulang, jumlah terkini pesakit yang masih berada di HSI adalah 44 orang iaitu enam di ICU dan 38 lagi di wad HSI iaitu 11 pesakit dewasa dan 33 pelajar sekolah,” katanya dalam satu kenyataan di sini malam ini.

Beliau berkata, pelaporan kes yang diterima adalah melalui notifikasi dari klinik kesihatan, klinik swasta dan hospital.

Sehubungan itu, pihak Jabatan Kesihatan Negeri Johor menasihatkan pihak sekolah dan penduduk tempatan agar:

1. Mendapatkan rawatan segera sekiranya mempunyai gejala pedih mata, sakit dada dan sesak nafas dan disyaki terhidu serta terdedah dengan bahan kimia tersebut.

2. Menggunakan air terawat untuk aktiviti harian.

3. Kerap mandi dan pakaian yang digunakan perlu dibasuh berasingan setiap kali keluar dari rumah bagi mengelakkan kemungkinan sisa toksik terkena di anggota badan.

4. Untuk mengelakkan diri dari memasuki dan berada di kawasan kejadian tersebut selain dinasihatkan mengelak melakukan sebarang aktiviti termasuk aktiviti riadah berdekatan kawasan Sungai Kim Kim sehingga arahan seterusnya.

Orang awam juga diminta mengikuti maklumat terkini kejadian ini dari sumber maklumat yang sahih dan mematuhi arahan agensi yang berkuasa. – UTUSAN

One thought on “Mangsa Pencemaran Bahan Kimia Di Johor Meningkat Kepada 209 Orang

  • March 14, 2019 at 10:45 am
    Permalink

    Semoga pesakit2 yg kronik pulih spt biasa. Ya allah jika ada perkenanmu..pulihkan lah semua yg sakit juga cemar elok seperti biasa.. dan pihak berkuasa wajib hukym seberat2nya pelaku cemar toksik

    Reply

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.