Mungkin Berlaku Kerjasama UMNO-PAS PRU14 Kata PM

KOTA BHARU – Datuk Seri Najib Razak berkata, segala kemungkinan boleh berlaku berhubung kerjasama di antara UMNO dan PAS bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

Bagaimanapun, Perdana Menteri berkata, setakat ini mereka (PAS dan UMNO) melakukan kerja masing-masing tanpa ada kerjasama.

Pada masa sama, Perdana Menteri mengakui bukan mudah untuk memenangi PRU di Kelantan, namun UMNO Kelantan akan membuat persediaan dan menggerakkan jentera yang terbaik.

“Kita mesti bekerja keras dan berharap UMNO tidak mengamalkan politik negatif sebaliknya menunjukkan contoh terbaik. Selebihnya biarlah rakyat Kelantan yang menilainya, ” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Universiti Malaysia Kelantan (UMK) sebelum menghadiri Program Transformasi Nasional 2050 (TN50), di sini.

Yang turut hadir, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed dan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.

Ketika ditanya adakah UMNO mahu merampas Kelantan pada PRU nanti, Najib berkata BN berhasrat untuk menampilkan sebagai parti yang menjadi pilihan rakyat.

“Namun, kita tidak mahu kata sama ada rampas atau tidak, tetapi kita akan menampilkan UMNO sebagai parti yang penuh bertanggungjawab dan terbaik supaya rakyat Kelantan dapat menilai,” katanya. -BH

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.