Megawati Puji Inisiatif Malaysia Tangani Jenayah Seksual Kanak-Kanak

PUTRAJAYA – Bekas Presiden Indonesia, Megawati Soekarnoputri, memuji inisiatif Malaysia dalam usaha menangani jenayah seksual terhadap kanak-kanak.

Presiden Indonesia kelima itu berkata, `Seminar Jenayah Seksual Kanak-Kanak: Hentikan!!’ di ibu negara bermula esok, yang diilhamkan isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor, amat penting kerana isu berkenaan adalah masalah antarabangsa.

“Saya berterima masih kerana diberi kesempatan mengikuti seminar ini dan memberi usul serta saranan.

“Sudah banyak undang-undang (mengenai jenayah seksual kanak-kanak) yang dikeluarkan oleh PBB (Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu) dan sebagainya tapi yang penting adalah pelaksanaannya, dan ia harus dilakukan bersama,” katanya.

Megawati berkata demikian pada sidang media sempena jamuan makan malam meraikan kedatangannya ke Malaysia di Seri Perdana, malam ini.

Yang turut serta dalam delegasi berkenaan ialah Menteri Koordinator Bidang Pembangunan Manusia dan Kebudayaan, Puan Maharani dan Menteri Kesihatan, Nila Djuwita Anfasa Moeloek.

Sementara itu, Rosmah berkata, Megawati akan menyampaikan perutusan khas bertajuk ‘Kerjasama ASEAN dalam membanteras jenayah seksual kanak-kanak’, Selasa ini.

“Ini adalah titik permulaan kerjasama hubungan kami terutama sekali dalam kalangan wanita Malaysia dan Indonesia. “Saya berharap akan dapat bekerjasama dengan lebih erat selepas ini,” katanya.

Seminar Jenayah Seksual Kanak-Kanak: Hentikan!! akan berlangsung selama dua hari, bermula esok di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) dan dirasmikan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak. – BH

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.