Tunku Imran Mahu Pertahan Presiden CGF

Kuala Lumpur – Presiden Persekutuan Sukan Komanwel (CGF), Tunku Imran Tuanku Ja’afar akan mempertahankan jawatannya di perhimpunan agung badan itu yang dijadualkan berlangsung di Auckland, New Zealand, pada September nanti.

 

Setelah memenangi jawatan itu tanpa bertanding pada 2011, bagi menggantikan Michael Fennell dari Jamaica, beliau mungkin menghadapi cabaran bagi mempertahankan jawatan itu, termasuk daripada Setiausaha Kehormat CGF sekarang, Louise Martin dari Scotland yang telah mengumumkan hasrat untuk bertanding jawatan itu.

 

Tunku Imran berkata, masih banyak kerja yang hendak diselesaikan dalam organisasi itu, namun beliau sedia menyambut baik sebarang cabaran.

 

“Kami telah melaksanakan banyak pembaharuan dalam CGF, dengan pelan strategik baru. Setelah memulakan proses dan menyelesaikan fasa pertama mendapatkan kelulusan segalanya, dan bergerak, saya kini ingin melihat proses pelaksanaan dijalankan,” katanya dalam satu acara hari ini.

 

Tunku Imran yang menjadi Presiden Majlis Olimpik Malaysia sejak 1998 dan ahli Jawatankuasa Majlis Olimpik Antarabangsa sejak 2006, pernah memegang jawatan Naib Presiden CGF selama lapan tahun, sebelum menyandang jawatan Presiden.

 

Martin yang juga Naib Pengerusi Jawatankuasa Pengelola bagi Sukan Komanwel Glasgow 2014, pernah menyuarakan hasratnya untuk bertanding jawatan Presiden CGF, beberapa tahun lalu.

 

Jelasnya, langkah untuk merebut jawatan utama itu adalah atas sebab-sebab peribadi dan bukan untuk mengetepikan Tunku Imran.

 

Dengan keanggotaan 71 negara, CGF bertanggungjawab menentukan hala tuju dan kawal selia Sukan Komanwel yang berlangsung empat tahun sekali itu.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.