Serangan Barca Lebih Baik Berbanding Real – Neymar

Madrib – Barcelona boleh mengulangi musim yang terbaik dalam sejarah kelab itu dengan memenangi tiga kejuaraan, menurut penyerang kelab tersebut Neymar.

 

Penyerang dari Brazil itu yang dipetik daripada portal sukan BBC berkata, serangan pasukannya, yang diterajui oleh Luis Suarez dan Lionel Messi, adalah lebih baik berbanding rangkaian serangan Real Madrid, Cristiano Ronaldo, Gareth Bale dan Karim Benzema.

 

Barcelona kini sedang mencabar kejuaraan untuk La Liga, Liga Juara-juara dan Copa del Rey.

 

“Kami memiliki pasukan yang mampu untuk memenangi ketiga-tiga gelaran tersebut,” kata Neymar.

 

Barcelona yang berjaya merangkul tiga gelaran dalam musim 2008-09, bakal bertembung dengan Real Madrid, di Nou Camp pada 22 Mac dalam pertembungan klasik untuk La Liga.

 

Sementara itu, pasukan yang dikendalikan oleh Luis Enrique ini sedang memiliki kelebihan dalam Liga Juara-juara setelah mendahului Manchester City 2-1, dalam peringkat 16 pasukan terbaik.

 

Selain itu, Barcelona akan bertemu dengan Athletic Bilbao dalam perlawanan akhir Copa del Rey pada 20 Mei.

 

Walaupun Madrid berjaya melangkah ke suku akhir Liga Juara-juara, pasukan Carlo Ancelotti itu masih kemarau kemenangan pada tiga perlawanan yang lepas.

 

Ketika ditanya samada adakah rangkaian serangan Barcelona lebih baik daripada Real, Neymar berkata;

 

“Saya fikir begitu.

 

“Tetapi saya tidak mahu bercakap mengenai lawan kami, sebaliknya kami memberikan tumpuan kepada corak permainan kami.”

 

Neymar sedang menikmati bola sepak bersama Barcelona, dengan telah menjaringkan 26 gol, dan 8 bantuan gol dalam 33 perlawanan musim ini dalam semua pertandingan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.