Seorang Lagi Pegawai TLDM Direman Berkaitan Siasatan Rasuah

IPOH – Seorang lagi pegawai Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) berpangkat Leftenan Komander direman lima hari mulai hari ini di Mahkamah Majistret Ipoh berhubung siasatan meminta dan menerima rasuah.

 

Reman selama lima hari terhadap tertuduh berusia 39 tahun dikeluarkan oleh Majistret Suhaima Mohd Noor selepas menerima permohonan pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini.

 

Individu berkenaan adalah pegawai keenam dari TLDM atau ke-15 termasuk orang awam yang direman bagi membantu siasatan kes itu.

 

Selasa lalu, seramai 14 individu, termasuk lima anggota dan pegawai TLDM) ditahan reman selama tujuh hari sehingga 16 Mac ini, mengikut Seksyen 117 Kanun Acara Jenayah.

 

Lima anggota dan pegawai TLDM, termasuk seorang wanita yang ditahan sebelum ini, berdepan siasatan mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009, kerana kesalahan meminta dan menerima rasuah.

 

Sembilan orang awam, termasuk seorang wanita lagi disiasat mengikut Seksyen 17(b) akta sama kerana kesalahan memberi rasuah.

 

Tangkapan dibuat susulan maklumat awam dan hasil siasatan SPRM terhadap gaya hidup semua penjawat awam terbabit yang melebihi daripada kemampuan pendapatan bulanan mereka.

 

Difahamkan, rasuah itu juga berkaitan dengan beberapa isu mencurigakan berkaitan kontrak dan pembelian barangan. – BHarian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.