‘Salahkan Tali Barut Jika Amerika Kacau Kita’

Salahkan “tali barut” di negara ini jika Amerika Syarikat campur tangan dalam urusan pentadbiran Malaysia, kata menteri komunikasi dan multimedia.

 

Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek bagaimanapun tidak menyatakan dengan jelas siapa “tali barut” yang dimaksudkan.

 

Tambahya, negara kuasa besar itu hanya menggunakan alasan demokrasi untuk mencampuri urusan sesebuah negara tetapi tindakannya itu selalu pula mengundang huru-hara.

 

Menyelar petisyen kepada Rumah Putih untuk menggesa pembebasan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dipenjara atas kes liwat, Shabery berkata:

 

“Mereka (Amerika) tidak kisah, di semua negara yang mereka campuri bukan semakin aman dan demokrasi (tidak) berjalan, sebaliknya huru-hara dan kemusnahan yang menunggu.

 

“Sekiranya ia berlaku, Malaysia tidak akan sama lagi. Sekiranya ia berlaku, jangan salahkan kuasa besar ini sahaja, tetapi tali barut yang menggapai tangan mengundang gergasi datang ke halaman kita.”

 

Petisyen itu, yang diusahakan oleh seorang bekas dutanya John Malott, sudah mencapai sasaran 100,000 tandatangan pagi tadi, sehari menjelang tarikh akhir esok, sebulan selepas tokoh pembangkang itu dikenakan hukuman penjara.

 

Petisyen itu dibuang daripada laman web Rumah Putih buat selama 14 jam semalam tetapi muncul semula menjelang tengah malam. Setiap petisyen memerlukan sokongan 100,000 tandatangan dalam tempoh 30 hari.

 

Dalam kenyataannya di Facebook hari ini, Shabery menempelak negara itu kerana membenarkan semula petisyen tersebut dengan alasan ia mengalami masalah teknikal.

 

“Kelmarin sistem teknologi maklumat (IT) Rumah Putih mengesan penipuan dalam petisyen meminta campur tangan kuasa besar itu dalam urusan Malaysia. Petisyen itu ditolak dan kita lega kerana kedaulatan negara tidak diganggu.

 

“Hari ini, kedutaan Amerika Syarikat menyatakan kesilapan sistem IT mereka. Petisyen diterima kembali! Ertinya, campur tangan dimungkinkan.

 

“Soalan, bagaimanakah sistem IT Rumah Putih yang sepatutnya tercanggih boleh silap? Semua pakar IT tahu (masalah) ini tidak mungkin berlaku. Ini jenaka besar yang memalukan kuasa besar yang mempunyai pakar IT terhebat,” katanya.

 

“Mereka tidak kisah kredibiliti mereka tercemar asalkan matlamat tercapai (untuk campur tangan).” – Malaysiakini

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.