Rombongan Akademik USM Kemalangan Di Acheh

PULAU PINANG – Sekumpulan 25 warga Universiti Sains Malaysia ( USM) yang terdiri dari 19 pelajar dan enam kakitangan termasuk pensyarah Pusat Pengajian Kejuruteraan Bahan dan Sumber Mineral, Kampus Kejuruteraan terlibat dalam satu kemalangan bas yang mereka naiki di Acheh, Indonesia hari ini.

 

Naib Canselor USM, Profesor Datuk Dr. Omar Osman berkata, pihaknya sedia maklum dengan kejadian malang itu dan sehingga kini masih menunggu pengesahan dan maklumat lanjut dari pihak berkuasa.

 

Pihak USM juga sehingga kini telah menubuhkan bilik gerakan bagi membantu urusan-urusan mangsa kemalangan dengan bantuan Konsulat Malaysia di Medan.

 

Beliau berkata, USM juga dimaklumkan seorang dari pelajar yang terlibat disahkan meninggal dunia di Pusat Kesihatan Masyarakat Geumpang, Acheh.

 

“Pelajar yang maut itu disahkan sebagai Muhamad Izzamir Nabihan  A. Majid, 23, pelajar tahun akhir Kejuruteraan Sumber Mineral yang berasal dari Pulau Pinang dan pihak Universiti berdukacita di atas kemalangan yang berlaku dan mengucapkan takziah serta pihak keluarga mangsa telah dihubungi,” kata Omar.

 

Universiti juga telah dimaklumkan tujuh daripada jumlah mangsa cedera ringan dengan dua orang di masukkan ke rumah sakit dan pusat kesihatan masyarakat berhampiran lokasi kejadian.

 

“Pasukan membantu juga akan di hantar ke Acheh untuk urusan-urusan membantu pelajar dan staf yang terlibat,” tambahnya.

 

Menurut beliau lagi, sehingga kini rakan-rakan Universitas Syiah Kuala termasuk Rektornya, Persatuan Pelajar Malaysia di Acheh dan Alumni USM di Acheh sedang memberi bantuan untuk proses menguruskan dan membawa pulang semua warga USM yang terlibat.

 

Mengulas lanjut kejadian, Omar berkata, kemalangan berlaku semasa ahli rombongan dalam perjalanan pulang dari lawatan perlombongan arang batu (pertambangan batu bara) di Geumpang PD Acheh.

 

Sebarang pertanyaan pihak keluarga mangsa boleh menghubungi Timbalan Pendaftar Hal Ehwal dan Pembangunan Pelajar, Husin Yahya di talian 0194721159. – Sinar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.