PRK DUN Chempaka: UMNO Pecat Sharif Dan Fadzillah

Pengkalan Chepa – Umno memecat keahlian Sharif Mahmood dan Fadzillah Hussin yang bertanding sebagai calon bebas dalam Pilihan Raya Kecil DUN Chempaka.

 

Kedua-dua keahlian mereka berkuatkuasa hari ini selepas satu surat pemecatan dikeluarkan oleh Ibu Pejabat UMNO hari ini yang ditandatangani oleh Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.

 

Keputusan pemecatan ini dibuat melalui Jawatankuasa Pengurusan Majlis Tertinggi di bawah Fasal 20.10 Perlembagaan UMNO.

 

Menurut portal Umno Online, Shariff merupakan ahli yang berdaftar di bahagian Umno RKT Gua Musang cawangan Jeram Tekoh sementara Fadzilah merupakan ahli Umno Tumpat cawangan Kepala Batas.

 

Sebelum ini, Fadzillah menolak dakwaan yang mengatakan dia tidak kisah sekiranya Umno mengambil tindakan disiplin terhadap dirinya kerana bertanding sebagai calon bebas di PRK Cempaka.

 

Fadzillah yang juga Ketua Pertubuhan Keturunan Paduka Raja Cik Siti Wan Kembang Malaysia berkata, keputusannya bertanding bukan untuk menentang parti tetapi dia juga tidak sedar akan perlembangaan parti.

 

Sementara itu Shariff berkata, dia bukan ahli mana-mana parti dan keahliannya sudah tamat kerana tidak diperbaharui dalam masa setahun.

 

Pemecatan ahli oleh Umno bukan suatu perkara yang baru kerana sebelum ini Perdana Menteri yang juga Presiden Umno, Datuk Seri Najib Tun Razak pernah memecat 61 ahlinya kerana menjadi calon bebas dalam Pilihan Raya Umum Ke -13.

 

PRK Cempaka menyaksikan pertandingan lima penjuru iaitu imam tua Masjid Mukim Baung Besar, Ahmad Fathan Mahmood @ Mahamad daripada Pas manakala empat calon bebas ialah Yang Dipertua Kelab Bumi Rahmat Kelantan, Fadzillah Hussin, ahli perniagaan dari Pasir Puteh, Aslah Mamat, aktivis Pertubuhan Peribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Sharif Mahmood dan ahli perniagaan, Izzat Bukhary Ismail Bukhary.

 

PRK DUN Chempaka diadakan berikutan kematian Allahyarham Nik Abdul Aziz Nik Mat pada 12 Februari lalu kerana kanser prostat.

 

Pada Pilihan Raya Umum ke13 (PRU-13) beliau menang dengan majoriti 6,500 undi.

 

Allahyarham Nik Abdul Aziz mendapat 12,310 undi manakala calon BN, Wan Razman Wan Abd. Razak memperolehi 5,810 undi.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.