Presiden Myanmar Tiba Untuk Lawatan Negara Dua Hari

SEPANG – Presiden Myanmar U Thein Sein tiba di sini hari ini dalam lawatan negara sulung dua hari ke Malaysia.

 

Beliau diiringi isteri, Daw Khin Khin Win sempena lawatan atas undangan Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah.

 

Ketibaan Thein Sein dengan penerbangan sewa khas pesawat Myanmar Airways International pada 12.50 tengah hari tadi, disambut Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman di Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA).

 

Turut hadir menyambut ketibaan Presiden Myanmar itu ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Paul Low Seng Kuan, yang juga menteri pengiring dan Duta Myanmar di Malaysia U Zaw Myint.

 

Presiden Myanmar melalui barisan dua pegawai dan 26 anggota daripada Rejimen ke-6 Renjer Diraja yang berdiri di sepanjang permaidani merah, diketuai Kapten Mohd Azwan Arif Mohd Azahari. – BERNAMA / UTUSAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.