Perangi IS: Bosnia Derma 500 Tan Peluru Kepada Iraq

SARAJEVO – Bosnia mendermakan sebanyak 500 tan peluru kepada Iraq bagi membantu memerangi kumpulan militan Islamic State (IS), kata seorang pegawai kementerian pertahanan semalam.

 

“Dengan berbuat demikian, negara kami dapat menyalurkan bantuan dalam perang terhadap pengganas IS,” kata pegawai berkenaan kepada agensi berita AFP.

 

“Presiden Bosnia bersetuju menyalurkan bantuan tersebut selepas mendapat permintaan daripada Amerika Syarikat yang mahu Bosnia menyertai pakatan menentang IS,” tambahnya.

 

Derma tersebut merupakan sebahagian daripada 16,000 tan senjata dan peluru yang tidak digunakan dalam perang etnik 1992-1995 di Bosnia. Pihak berkuasa negara itu sebelum ini merancang sama ada untuk memusnahkan senjata dan peluru itu atau mendermakannya kepada negara lain menjelang 2020.

 

Pada 2011, Bosnia yang merupakan bekas negara Republik Yugoslavia dan mempunyai ramai masyarakat Islam turut mendermakan beberapa buah meriam kepada Afghanistan.

 

Negara berkenaan bagaimanapun tidak mengeksport senjata ke Ukraine walaupun mendapat permintaan untuk berbuat demikian.

 

Bosnia bimbang tindak balas daripada Rusia kerana masih bergantung kepada bekalan gas Moscow. – AFP/ KOSMO!

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.