Penyokong Pas Jadi Calon Bebas Mahu Tunai Wasiat Ayah

KOTA BHARU – “Saya ingin kotakan wasiat arwah ayah yang mahukan saya meneruskan perjuangan untuk membuka mata masyarakat supaya tidak bergaduh disebabkan politik,” kata calon Bebas PRK Dun Chempaka, Aslah Mamat.

 

Menurutnya, amanat itu diberitahu arwah bapanya, Mamat Abdullah sejak dia masih remaja lagi, sehinggalah kini dia menemui platform terbaik untuk melaksanakan wasiat tersebut.

 

“Insya-ALLAH, pesanan arwah ayah akan saya kotakan, pendekatan yang saya ambil iaitu melalui ceramah ini juga dilihat cara yang cukup berkesan untuk membantu membuka minda masyarakat.

 

“Politik sebenar bukanlah untuk memecahbelahkan, tetapi untuk bersatu, arwah ayah juga berpesan, itulah yang perlu ditekankan jika suatu hari nanti saya dipilih menjadi pemimpin,” katanya.

 

Menurutnya, sebelum ini dia banyak membantu belakang tabir parti politik di Malaysia terutama Pas, walaupun arwah ayahnya adalah seorang penyokong BN.

 

“Zaman arwah ayah sudah tamat, tapi kini saya tidak menyokong mana-mana parti politik, walaupun pernah ditawarkan untuk menganggotai (parti), tetapi saya menolak kerana bagi saya, setiap parti yang ada ini ada kekurangannya sendiri, jadi saya tidak mahu terlibat dengan mana-mana pihak sekali pun,” katanya yang pernah turut serta membantu Pas berkempen di Sungai Limau, sebelum ini.

 

Walaupun bergerak sendirian, Aslah mengakui hubungannya dengan Pas masih baik dan tiada pertelingkahan yang berlaku sehingga memaksanya tidak bersama-sama menyokong parti Islam itu kali ini.

 

Terdahulu, Aslah ketika sidang media di pusat penamaan calon kelmarin, turut memberitahu dia akan bergantung pada ‘jentera ghaib’ sebagai pembantunya dalam berkempen kali ini.

 

Mengulas isu tersebut, dia menafikan ‘jentera ghaib’ yang dimaksudkan itu ialah permainan syirik dan bomoh.

 

“Ini bukan bomoh, itu semua kepercayaan mengarut, apa yang dimaksudkan ‘jentera ghaib’ ialah mereka yang datang membantu saya secara tiba-tiba, mungkin sebelum ini mereka tidak mengenali saya, tetapi bila tahu saya masuk bertanding, mereka datang jumpa dan hulurkan tangan untuk bantu berkempen, itu yang sebenarnya,” katanya. – Sinar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.