Penyepit Makanan Tertusuk Otak Bayi

CHAOYANG CITY – Bayi berusia 12 bulan terpaksa menahan sakit selama 10 hari selepas sebatang penyepit makanan tertusuk ke hidungnya sehingga menembusi bahagian otak tanpa disedari oleh ibu-bapanya.

 

Hanghang, sedang makan bersama ibu dan bapanya di rumah mereka di Chaoyang City, China sebelum tersadung dan terjatuh sehingga menyebabkan penyepit makanan berkenaan tertusuk ke lubang hidungnya.

 

Ibu bapanya sudah mengeluarkan penyepit makanan itu sebelum membawa Hanghang ke hospital.

 

Malang sekali doktor yang merawatnya juga tidak menyedari rupa-rupanya masih terdapat 6cm penyepit makanan yang tertinggal di dalam hidung Hanghang sehinggalah dia mengalami muntah.

 

Selepas melihat kanak-kanak tersebut muntah, ibu bapanya terus membawanya kembali ke hospital dan penyepit berkenaan dikeluarkan.

 

Ibu bayi tersebut, Yu Liao, 25, berkata, selepas pulang dari hospital suaminya telah membuang semua penyepit makanan kerana bimbang sesuatu seperti itu akan berlaku lagi.

 

“Pada masa itu, kami tidak tahu masih ada sebahagian penyepit makanan tersebut tertinggal di dalam hidungnya.

 

“Anaknya telah mula menunjukkan tanda-tanda kurang bermaya dan kemudian mula muntah jadi kami membawa dia kembali ke hospital dan doktor mendapati bahawa separuh daripada penyepit makanan tersebut masih tertinggal di dalam hidung anaknya dan tertusuk sehingga ke dalam otaknya.”

 

Sementara itu, doktor hospital yang merawatnya, Li Shaovi berkata, bayi tersebut bernasib baik dan ia tidak memberi kesan yang teruk kepadanya.

 

“Pergerakan badannya berfungsi seperti biasa menyebabkan keluarganya tidak menyedari penyepit makanan tersebut masih di dalam.

 

“Nasib baik, ia tersekat di kawasan bukan fungsi otak.

 

“Selepas mengeluarkan baki penyepit itu, keadaannya bertambah baik dengan serta-merta namun masih perlu mendapatkan rawatan lanjut kerana mengalami jangkitan di bahagian otaknya”, katanya dipetik Mirror.uk – Sinar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.