Pas Kota Bharu Tetap Calonkan Tuan Ibrahim

KOTA BHARU – Pas kawasan ini akan tetap mencalonkan Naib Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man untuk mencabar Datuk Seri Abdul Hadi Awang bagi jawatan Presiden dalam pemilihan parti itu pada Jun ini.

 

Yang Dipertuanya, Datuk Wan Abdul Rahim Wan Abdullah (gambar) berkata, pencalonan tersebut akan diteruskan biarpun Tuan Ibrahim menolaknya kerana keputusan itu dibuat dalam Mesyuarat Agung Pas kawasan baru-baru ini.

 

“Kita akan tetap calonkan beliau (Tuan Ibrahim) kerana itu keputusan mesyuarat agung. Yang lain no comment,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

 

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai tindakan Tuan Ibrahim menolak pencalonan tersebut sambil menyifatkan Abdul Hadi masih layak untuk terus memegang jawatan itu.

 

Malah, Tuan Ibrahim juga agak kurang selesa dengan keputusan tersebut apabila menyatakan ‘kadang-kadang sokongan juga membawa rebah’.

 

Kelmarin Pas Kota Bharu membuat kejutan apabila tidak menamakan Abdul Hadi, sebaliknya mengemukakan nama Tuan Ibrahim sebagai calon Pre­siden dalam pemilihan sempena muktamar parti Jun ini.

 

Dalam sidang akhbar selepas Mesyuarat Jawatankuasa Pas kawasan malam kelmarin, Wan Abdul Rahim berkata, Abdul Hadi tidak dipilih kerana faktor keuzuran, selain me­rasakan beliau layak dilantik sebagai Mursyi­dul Am menggantikan Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

 

Sementara itu, di Kota Bharu, Ketua Dewan Pemuda Pas negeri, Ahmad Fadhli Shaari menyindir Yang Dipertua Pas Kawasan Kota Bharu, Datuk Wan Abdul Rahim Wan Abdullah apabila menamakan bekas Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) itu sebagai calon yang paling sesuai mencabar Abdul Hadi.

 

Ahmad Fadhli berkata, Tuan Ibrahim bukan calon yang sesuai untuk mencabar Abdul Hadi kerana ada ramai lagi tokoh yang layak untuk jawatan itu.

 

Namun beliau berkata, pada pandangan peribadinya, Abdul Hadi perlu kekal sebagai Presiden Pas tanpa dicabar oleh mana-mana pihak.

 

“Jika mahu dicabar sekalipun, ada calon lain yang lebih sesuai, pada pandangan saya ialah Wan Abdul Rahim sendiri.

 

“Beliau merupakan ‘orang lama’ dalam politik dan pernah berkhidmat sebagai Speaker DUN Kelantan dan juga pernah memenangi kerusi Parlimen Kota Bharu dalam pilihan raya umum 2008,” katanya secara sinis dalam entri laman Facebooknya hari ini. – UTUSAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.