Mohd Hariff Terkilan Gagal Naik Podium Di Laman Sendiri

Kuala Berang – Pelumba pasukan Terengganu Cycling Team (TSG), Mohd Hariff Salleh terkilan, kerana gagal meraih kedudukan podium pada peringkat keempat Le Tour de Langkawi (LTdL) 2015, sejauh 165.4 kilometer dari Kota Bharu, Kelantan ke Kuala Berang, Terengganu, hari ini.

 

Pelumba kelahiran Kuala Terengganu itu muncul pelumba terbaik negara, selepas menduduki tangga keenam daripada 125 pelumba pada perlumbaan itu, dengan catatan masa tiga jam 43 minit dan 14 saat, bersama sembilan pelumba teratas.

 

“Momentum perlumbaan pada 5 km terakhir bertambah laju, sehingga menyebabkan tayar basikal rakan sepasukan saya, Anuar Manan mengalami kebocoran.

 

“Beliau selalu memimpin perlumbaan dan membuka ruang untuk saya. Apabila tayar basikalnya bocor pada 1 km terakhir, saya terpaksa mencari laluan sendiri, sebelum menuju garisan penamat,” katanya ketika ditemui selepas perlumbaan itu.

 

Mohd Hariff yang juga dikenali sebagai pakar pecut negara, berharap dapat melakar keputusan lebih baik pada peringkat kelima, esok, sejauh 200 km dari Kuala Terengganu ke Kuantan, Pahang.

 

“Saya kena simpan banyak tenaga, kerana esok laluan agak jauh, selain terpaksa berhadapan angin yang kuat. Kalau boleh, saya ingin tamatkan perlumbaan dengan kedudukan podium,” katanya.

 

Dalam pada itu, ibu Mohd Hariff, Esah Abdullah, 60, gembira dengan keputusan yang dicatatkan anak keempatnya itu, walaupun gagal meraih kedudukan podium.

 

“Makcik gembira, sebab tengok dia (Mohd Hariff) dapat nombor enam…mungkin hari ini bukan rezeki dia. Makcik berdoa dia boleh dapat kedudukan lebih baik pada perlumbaan esok,” katanya yang datang dari Kuala Terengganu, untuk memberi sokongan kepada Mohd Hariff serta anak ketiganya, Mohd Zamri Salleh yang juga Ketua Pasukan TSG.

 

Seramai 125 pelumba bakal melalui tiga zon pecutan pada peringkat kelima, esok, iaitu di Dungun, Kertih dan Chukai, selain satu zon pendakian di Kijal.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.