Masjid Biru Shah Alam Perlu Wajah Baharu

MASJID Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah atau Masjid Negeri Selangor di Shah Alam merupakan simbol keagungan Islam di negeri ini dan menjadi kebanggaan rakyat Selangor.

 

Masjid yang juga dikenali sebagai Masjid Biru bagi pelancong adalah yang terbesar di Asia Tenggara dan mempunyai seni bina Islam menakjubkan.

 

Keindahan masjid seluas 14.6 hektar yang terletak di sebahagian Tasik Shah Alam juga megah mempunyai kubah masjid yang terbesar di dunia dan menara yang tertinggi di dunia.

 

Namun begitu, masjid berusia 22 tahun ini semakin menjadi bualan penduduk sekitar Shah Alam apabila keadaannya kini sudah tidak seperti dahulu.

 

Penduduk sekitar dan pengunjung melahirkan rasa kecewa apabila melihat kubah dan dindingnya seperti tidak diselenggara dengan sempurna.

 

Tinjauan Sinar Harian turut mendapati permukaan kubah kelihatan tidak berseri dan ia jelas dilihat walaupun kedudukannya agak tinggi.

 

Pesara kerajaan, Mansor Abu, 63, berkata, masjid ini adalah ikon umat Islam di negeri ini dan menjadi tumpuan pelancong dalam dan luar negeri.

 

Menurutnya, besar harapannya agar pihak masjid dapat menukar kubah itu daripada dibiarkan berkeadaan kusam kerana ia menjejaskan imejnya.

 

“Jangan kerana kubah yang tidak diselenggara, imej masjid ini terjejas,” katanya.

 

Bagi Mohd Arif Ibrahim, 38, masjid ini sentiasa menjadi tumpuan ramai jadi kemudahan infrastruktur termasuk kubahnya perlu dijaga sempurna.

 

“Pihak berkuasa kena buat sesuatu agar imej masjid ini terjaga dan terpelihara. Jangan hanya kerana disebabkan kubah yang kusam, imej masjid tercalar di pandangan umum,” katanya.

 

Dalam pada itu, seorang penjawat awam, Mahadir Mazlan, 56, berkata, kubah masjid ini sepatutnya dibersihkan selalu sekurang-kurangnya empat kali dalam tempoh setahun.

 

“Agama Islam pun ajar kita utamakan kebersihan, jadi imej dan kebersihan masjid pun harus dijaga kerana ia melambangkan agama kita.

 

“Negeri ini antara yang termaju di Malaysia, jadi tak salah jika kerajaan negeri memperuntukkan lebih belanja kepada kemudahan infrastruktur,” katanya.

 

Namun begitu, Ir Azhar Jailani, 41, pula memberi pandangan berbeza.

 

“Kubah masjid jelas kelihatan kusam tapi kalau tak rosak dan bocor, saya sarankan ia tidak perlu ditukar sebab kosnya tinggi.

 

“Sebaliknya pihak berkuasa kena cari mereka yang pakar dalam bidang pembersihan dan penyelenggaraan bangunan dan kubah masjid.

 

“Syarikat yang diberi tugas berkenaan boleh mengkaji berkenaan usaha pembersihan dan penyelenggaraan, ikut langkah yang produktif dan sekali gus kos dapat dijimatkan,” katanya.

 

Ia disokong Ibrahim Abdullah, 34, yang berkata, jika kos menukar kubah menelan belanja jutaan ringgit, ia tidak perlu dilakukan kerana jelas satu pembaziran.

 

“Lebih baik tumpukan pada usaha pembersihan dan penyelenggaraan. Kalau syarikat yang dilantik tidak melaksanakan tugas dengan baik, pihak berkuasa JKR harus tukar syarikat lain yang lebih bagus.

 

“Namun begitu, pemantauan berterusan oleh JKR harus dibuat bagi mengelak syarikat itu lepas tangan dan berulang kali kedua,” katanya. – Sinar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.