KDN Tidak Keluar Arahan Sekat Sesiapa Masuk Sabah Sarawak

Kuala Lumpur – Kerajaan tidak ada memberi sebarang arahan kepada Jabatan Imigresen Negeri Sabah dan Sarawak untuk menyekat kemasukan warga asing atau rakyat Semenanjung Malaysia ke dua negeri itu.

 

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengesahkan perkara berkenaan di dalam jawapan bertulis bagi menjawab soalan Ahli Parlimen DAP Seputeh, Teresa Kok di Parlimen hari ini.

 

“Kementerian Dalam Negeri (KDN) tidak ada memberi sebarang arahan kepada Jabatan Imigresen Negeri Sabah dan Sarawak untuk mengenakan larangan pada warga asing dan warga Semenanjung Malaysia daripada masuk ke Sabah dan Sarawak.

 

“Arahan tersebut hanya diterima melalui pihak berkuasa Negeri Sabah dan Sarawak mengikut Seksyen 65, Akta Imigresen 1959/63,” katanya di dalam jawapan bertulis yang diedarkan lewat petang hari ini.

 

Teresa meminta menteri KDN untuk menyatakan sama ada Pejabat Imigresen Sabah dan Sarawak menerima arahan daripada kementerian itu untuk mengenakan larangan pada warga asing dan warga Semenanjung Malaysia daripada masuk ke Sabah dan Sarawak.

 

Ahli DAP itu juga meminta KDN menyenaraikan nama mereka yang dilarang masuk ke dua negeri itu.

 

“Senarai nama warga Semenanjung Malaysia yang dilarang masuk ke Sabah dan Sarawak berubah dari semasa ke semasa mengikut arahan pihak berkuasa Negeri Sabah dan Sarawak.

 

“Senarai nama ini juga dikawal di bawah Akta Rahsia Rasmi,” tambah beliau.

 

Sebelum ini, Menteri Besar Selangor dan juga Ahli Parlimen PKR Gombak, Mohamed Azmin Ali pernah meminta kerajaan negeri Sarawak untuk membatalkan larangan ahli PKR dari memasuki negeri itu.

 

Terdapat segelintir dari pemimpin kanan pembangkang yang dihalang dari memasuki Sabah dan Sarawak termasuk Presiden Perkasa, Datuk Ibrahim Ali.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.