KDN Tawar PPS Diserap Dalam Rela

GEORGETOWN – Kementerian Dalam Negeri (KDN) menawarkan Pasukan Peronda Sukarela (PPS) Pulau Pinang diletakkan di bawah Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) sebagai sebahagian pasukan pencegahan jenayah di negeri ini.

 

Menteri berkenaan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata pihaknya sudah menawarkan perkara itu kepada Ketua Menteri Lim Guan Eng, namun sehingga kini kerajaan negeri belum mengeluarkan maklum balas rasmi berhubung perkara itu.

 

“Saya telah menawarkan kepada ketua menteri supaya PPS diserap ke dalam Rela dan mereka menjadi sebahagian daripada organisasi pencegahan jenayah. Setakat ini, tidak ada jawapan rasmi daripada kerajaan negeri lagi.

 

“Saya ingin mengalu-alukan jika mereka benar-benar ikhlas untuk membantu diri sendiri dan membantu kami untuk melaksanakan usaha pencegahan jenayah di Pulau Pinang,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan forum Jenayah Dan Kepolisan Di Malaysia kali ke-9, di Universiti Sains Malaysia di sini hari ini.

 

PPS ditubuhkan kerajaan negeri pimpinan DAP enam tahun lepas dan diisytiharkan haram pada November tahun lepas kerana tidak mendaftar dengan Pendaftar Pertubuhan.

 

Ditanya sama ada Pulau Pinang memerlukan PPS, Ahmad Zahid berkata negeri ini tidak memerlukan pasukan berkenaan kerana pihak berkuasa telah menjalankan tugas sebaiknya dalam menjaga keselamatan penduduk di negeri ini.

 

Beliau berkata Rela bersedia membantu PPS jika kerajaan negeri bersetuju dengan tawaran berkenaan. – Bernama / Sinar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.