GST: 350,054 Syarikat Telah Didaftarkan

PUTRAJAYA – Sebanyak 350,054 syarikat telah berdaftar di bawah sistem Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) sehingga kini.

 

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah berkata, pelaksanaan cukai baharu itu pada masa kini mengikut jadual yang dirancangkan.

 

Sehubungan itu, katanya, kerajaan juga telah mengambil pelbagai langkah bagi memastikan peniaga bersedia menghadapi GST.

 

“Kerajaan melalui Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) telah menjalankan sebanyak 6,443 program latihan dengan dihadiri sebanyak 616,000 orang dan sebanyak 300 program hand holding kepada peniaga bagi membantu mereka memahami keperluan undang-undang dan mendapatkan pelbagai maklumat terkini mengenai GST.

 

“Selain itu, JKDM juga telah menyediakan soalan dan jawapan dalam membantu peniaga mendapat maklumat serta keputusan terkini terutamanya berkaitan isu-isu teknikal menerusi laman web www.gst.customs.gov.my,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

 

Terdahulu, beliau mempe­nge­rusikan mesyuarat peringkat eksekutif kali pertama bagi tahun ini di Kementerian Kewangan di sini.

 

Yang hadir sama, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed; Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob; Menteri Komunikasi Dan Multimedia, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek dan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Hasan Malek.

 

Menurut Ahmad Husni, pada 2 Januari lalu, JKDM telah menerbitkan buku Barang Serbeneka bagi menyenaraikan barang yang dikenakan GST pada kadar sifar atau enam peratus untuk kemudahan rujukan dan pengguna.

 

Pada masa sama, katanya, Kementerian Perdagangan Dalam Ne­geri, Koperasi dan Kepenggunaan juga telah menerbitkan Panduan Harga yang dapat membantu pengguna membuat perbandingan harga barangan sebelum dan selepas pelaksanaan GST.

 

Panduan harga itu disediakan berdasarkan enam wilayah iaitu wilayah Tengah, Selatan, Utara, Timur, Sabah dan Sarawak dan mengandungi perubahan harga bagi 500 jenis barang.

 

Mengulas lanjut, beliau berkata, kerajaan berharap baki hari yang tinggal sebelum GST dilaksanakan dapat digunakan dengan sepenuh­nya bukan sahaja oleh peniaga tetapi juga jabatan kerajaan dalam membuat persiapan yang sewajarnya.

 

Katanya, kerajaan berharap supaya pelaksanaan GST berjalan lancar dan sebarang masalah dapat di­selesaikan dalam kadar segera. – UTUSAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.