Gobind Tolak Pindaan Hudud DUN Kelantan

Kuala Lumpur – PAS akhirnya membentangkan cadangan pindaan Enakmen Kanun Jenayah Syariah (II) 1993, berkaitan pelaksanaan hudud kepada Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP, parti sekutunya dalam Pakatan Rakyat (PR), di Parlimen hari ini, namun diberitahu supaya balik membentangkan semula cadangan pindaan itu di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan.

 

Perkara itu dimaklumkan Pengerusi Biro Undang-undang DAP, Gobind Singh Deo ketika ditemui pemberita di pejabat pembangkang di bangunan Parlimen, selepas pembentangan berkenaan dibuat PAS Kelantan.

 

Menurut Gobind, PAS Kelantan diminta membentangkan kembali pindaan enakmen itu di DUN Kelantan, untuk dibincangkan semula dalam mesyuarat PR, sebelum ahli parlimennya yang mewakili kerajaan negeri itu boleh membentangkan cadangan rang undang-undang (RUU) persendirian di Dewan Rakyat, bagi membolehkan pelaksanaan hudud.

 

Menurut Gobind lagi, apa yang dibentangkan PAS dalam mesyuarat PR hari ini, adalah satu undang-undang baru dan bukannya pindaan.

 

“Saya melihat undang-undang itu dan apa yang saya dapati, undang-undang itu melebihi jangkaan apa yang dikatakan pindaan.

 

“Kedudukan kami, seperti yang dikatakan sebelum ini, sangat konsisten, kami menentang pindaan itu.

 

“Kembali kepada undang-undang berkenaan, kami minta untuk dipertimbangkan semula, sebab pada awalnya, kami diberitahu ada pindaan.

 

“Jadi, bila diberitahu pindaan, apa yang patut dibentangkan adalah pindaan, tapi bukan bermakna, kami akan bersetuju dengan pindaan itu,” katanya di Parlimen, pada Khamis.

 

Mesyuarat PR yang diadakan di tingkat 14 bangunan Parlimen, hari ini, bertujuan membincangkan cadangan pindaan enakmen berkenaan, sebelum RUU persendirian bagi membenarkan pelaksanaan hudud di negeri tersebut, dibentang di Dewan Rakyat.

 

Mesyuarat itu dihadiri Penolong Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan bersama dua Exco Kelantan, Datuk Abdul Fattah Mahmood dan Datuk Mohd Nassuruddin Daud.

 

– Berita lanjut menyusul.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.