Farahdhiya Suka Lelaki Melayu Tapi Elak Suami Orang

Meskipun berdarah kacukan, penyanyi dan pelakon jelita, Farahdhiya, 30 menyatakan masih tahu menjaga adab dan tidak akan sesekali melakukan perkara yang boleh menjatuhkan air muka ibu bapa mahupun keluarganya.

 

Menurut penyanyi popular dengan lagu Bertakhta Di Hati dan Ku Tak Rela, dia sangat cerewet dan berpegang pada prinsip dalam melakukan sesuatu perkara apatah lagi jika melibatkan karier dan kehidupannya.

 

“Bagi saya, kita bukannya budak-budak. Sebagai contoh, jika ada mana-mana artis terkait kontroversi gara-gara berpakaian seksi kemudian artis itu beri alasan dia tidak tahu apa-apa kerana tahu dia hanya memakai baju tersebut.

 

“Bagi saya jawapan itu kurang bijak. Ya, semua orang buat salah tetapi kenapa mesti kita salahkan orang lain apabila diri sendiri sebenarnya tidak tahu apa yang sepatutnya perlu buat.

 

“Walaupun saya berdarah kacukan tetapi saya masih lagi berfikir mengenai ibu bapa dan saudara-mara. Saya harus jaga air muka mereka.

 

“Bagi saya tidak akan pakai baju yang saya rasa sangat tidak sesuai. Tidak kisah jika pihak berkenaan melabelkan saya berlagak diva hanya kerana saya tidak mahu memakai baju itu kerana saya ada prinsip.

 

“Sama juga jika saya menjalani penggambaran, jika saya tidak yakin dengan jurusolek yang disediakan produksi, saya akan bawa jurusolek sendiri ke set walaupun penggambaran selama 30 episod,” katanya ketika ditemui Malaysian Digest dalam satu acara hiburan di Kuala Lumpur, semalam.

 

Pelakon kacukan Melayu-Inggeris kelahiran Sarzana, Itali ini juga menyatakan pandangan terhadap sikap terbukanya dari segi penampilan mahupun menerima satu-satu tawaran atau melakukan sesuatu melibatkan kerjayanya sepanjang bergelar anak seni.

 

Dalam pada itu, Farahdhiya mengakui sikapnya terlalu cerewet menyebabkan dirinya kini masih belum bertemu dengan lelaki pilihan hati yang sesuai dijadikan teman hidup.

 

“Saya masih solo. Kalau ada yang tahu saya bercinta, orang itu bertuah kerana saya seorang yang sangat berahsia tentang hubungan cinta kecuali apabila saya sudah betul-betul mahu berkahwin, baru saya akan kongsikan mengenai kekasih saya,” katanya

 

Jelasnya, sejak kali terakhir putus cinta kira-kira dua tahun setengah lalu, sehingga kini belum da lagi lelaki yang berjaya mencuri hatinya.

 

Namun, ada dalam kalangan teman rapatnya cuba mahu mengenalkan dia dengan beberapa lelaki tetapi setakat ini hubungan tersebut belum menjadi.

 

Begitupun, pengalaman lalu sedikit sebanyak mengajarnya agar lebih berhati-hati dalam memilih pasangan.

 

“Kawan-kawan rapat saya semuanya sudah berkahwin. Jadi, mereka ada juga yang nak kenalkan saya dengan beberapa lelaki.

 

“Sebenarnya, susah untuk saya jatuh cinta pada seseorang. Pertama sekali yang saya katakan pada teman-teman saya, saya mahu tengok gambar wajah lelaki itu dulu.

 

“Kalau kena dengan citarasa baru saya bersetuju untuk berjumpa. Jika tidak kena dengan ciri-ciri yang saya cari, saya menolak untuk berjumpa kerana ia hanya membuang masa.

 

“Saya suka pada lelaki Melayu, tinggi, berkulit gelap dan kacak,” katanya sambil tertawa sebelum meneruskan kata-kata,

 

Tambahnya, kacak bukanlah ciri utama yang dicari tetapi dia menyukai lelaki yang pandai menjaga diri.  Bagaimanapun, pada tahun ini dia mula membuka hatinya untuk memberi ruang kepada dirinya mengenali mana-mana lelaki.

 

“Tahun ini saya mahu beri ruang pada mana-mana lelaki yang ingin berkawan dengan saya. Jika saya jumpa dengan orang yang benar-benar sesuai, saya sudah bersedia untuk terus berkahwin.

 

“Namun, saya sebolehnya mengelak daripada menjalinkan hubungan dengan suami orang,” katanya.

 

Mengenai perkembangan kerjaya pula, Farah bakal muncul menerusi drama Super Game Boy yang bakal ditayangkan mulai 21 Mac ini, jam 11 pagi menerusi saluran Astro Ceria (811) dan Maya HD.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.