Ekonomi Malaysia Tumbuh 4.5-5.5% Tahun Ini

Ekonomi Malaysia diunjur kekal di landasan pertumbuhan stabil antara 4.5% dan 5.5% tahun ini dipacu oleh permintaan domestik berikutan sektor luar berdaya tahan, kata Gabenor Bank Negara Malaysia, Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz.

 

Beliau berkata pelaburan swasta diunjur mengembang 9%, diteraju terutamanya oleh pelaburan dalam sektor pembuatan.

 

Zeti berkata penstrukturan semula ekonomi yang dilaksana oleh kerajaan memberi daya tahan kepada negara untuk mengharungi persekitaran luaran yang mencabar dan membuka penyertaan swasta lebih tinggi pada 70% daripada keluaran dalam negara kasar (KDNK).

 

Beliau berkata peralihan dalam aktiviti ekonomi di bawah penstrukturan semula ekonomi mewujudkan struktur ekonomi yang lebih pelbagai.

 

Ia mewujudkan struktur eksport yang pelbagai bagi seluruh produk dan pasaran serta sistem kewangan berdaya tahan dan dibangunkan dengan baik yang menyokong pertumbuhan ekonomi, katanya.

 

Katanya pengukuhan fiskal negara juga kekal di landasan untuk mencapai sasaran pertumbuhan 3.2% daripada KDNK tahun ini di sebalik harga minyak yang rendah.

 

Beliau berkata langkah-langkah pembaharuan fiskal terdahulu memberi keputusan positif seperti mengurangkan pergantungan kepada hasil minyak manakala pembaharuan perbelanjaan yang disokong oleh pemansuhan subsidi bahan api akan mengurangkan perbelanjaan mengurus.

 

Di samping itu, beliau berkata pelaksanaan GST (cukai barang dan perkhidmatan) akan memperluas asas pendapatan kerajaan.

 

Zeti berkata imbangan perdagangan negara akan kekal dalam lebihan yang besar berikutan pertumbuhan eksport lebih sederhana.

 

Katanya, eksport perkilangan diunjur tumbuh 8.4% tahun ini, diteraju oleh pertumbuhan eksport elektrik dan elektronik sebanyak 14.1%, memandangkan industri itu menerima manfaat daripada pemulihan di negara-negara maju utama.

 

Beliau berkata eksport perkilangan merupakan bahagian terbesar daripada eksport keseluruhan, namun impak perkembangan luaran dikurangkan oleh struktur perdagangan yang pelbagai dari segi produk dan pasaran.

 

Katanya sekalipun lebihan akaun semasa diunjur menguncup kepada antara dua dan 3% daripada Pendapatan Kasar Negara (PKN) tahun ini daripada 4.8% tahun lepas, penyederhanaan itu konsisten dengan pengimbangan semula global dan transformasi struktur dalam ekonomi domestik.

 

Beliau berkata ciri utama dalam transformasi struktur ialah pertumbuhan kukuh dalam aktiviti pelaburan yang merapatkan jurang antara simpanan dan pelaburan.

 

“Pelaburan dalam bidang pertumbuhan baharu, industri dan infrastruktur nilai tambah tinggi akan terus meningkatkan produktif dan kapasiti eksport ekonomi,” katanya.

 

Dalam pada itu, Zeti berkata kedudukan kewangan Bank Negara kekal stabil pada 2014 dengan aset keseluruhan berjumlah RM427.6 bilion dan rizab antarabangsa RM405.4 bilion (AS$115.9 bilion).

 

Katanya, bank pusat mencatatkan keuntungan bersih RM6.38 bilion tahun lepas dengan RM3 bilion dibayar kepada kerajaan sebagai dividen. – Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.