Dua Polis Ditembak Ketika Tunjuk Perasaan

Washington – Dua anggota polis ditembak di luar Ibu Pejabat Polis Bandar Ferguson, pada awal pagi Khamis, beberapa jam selepas Ketua Polis Bandar Ferguson, Thomas Jackson meletak jawatan.

 

Ketua Polis Daerah St. Louis, Jon Belmar yang dipetik Reuters memaklumkan, seorang anggota polis berusia 41 tahun dari jabatannya ditembak di bahagian bahu.

 

Seorang lagi anggota polis berusia 32 tahun dari Jabatan Polis Webster Groves ditembak di bahagian muka, sekitar tengah malam, ketika kumpulan penunjuk perasaan mula bersurai.

 

Jelasnya, kedua-dua mangsa tembakan itu sedar dan masih dirawat di sebuah hospital.

 

“Kedua-dua polis itu berdiri di sana dan mereka ditembak, hanya kerana mereka adalah anggota polis,” kata Belmar.

 

Menurut jurugambar Reuters yang berada di tempat kejadian, berpuluh-puluh penunjuk perasaan melarikan diri, selepas terdengar bunyi tembakan sekitar tengah malam, dengan ada yang menjerit “mereka tembak seorang anggota polis”.

 

Saksi mendakwa terdengar dua hingga empat tembakan dilepaskan.

 

Belmar berkata, penembak itu bersembunyi di kalangan penunjuk perasaan yang berdiri di hadapan panggota polis itu.

 

“Secara jujurnya, saya tidak tahu siapa yang melakukan tembakan itu, tetapi mereka bersembunyi di kalangan kumpulan orang ramai,” katanya.

 

Manakala aktivis terkenal, Deray McKesson dalam Twitternya memaklumkan, dia berada di tempat kejadian dan tembakan itu bukan dilepaskan kumpulan penunjuk perasaan.

 

“Penembak itu tidak dalam kumpulan penunjuk perasaan. Penembak itu berada di atas bukit. Kami boleh hidup dalam dunia tanpa senjata,” demikian tulis McKesson.

 

Penunjuk perasaan mendesak Jackson berundur, sejak tragedi remaja berkulit hitam, Michael Brown, 18, yang tidak bersenjata, ditembak mati anggota polis kulit putih, Darren Wilson, pada 9 Ogos 2014.

 

Kematian Brown mencetuskan bantahan di seluruh Amerika Syarikat dan penelitian terhadap penggunaan kekerasan oleh polis, khasnya lelaki kulit hitam.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.