Diego Forlan Umum Persaraan

Tokyo – Pemain antarabangsa Uruguay, Diego Forlan, yang mencatatkan cap terbanyak bersama pasukan negaranya mengumumkan persaraan daripada arena bola sepak antarabangsa, pada Khamis.

 

Penyerang berusia 35 tahun itu, telah merekodkan 112 cap untuk Uruguay, dan telah menjaringkan 36 gol sepanjang kariernya bersama pasukan kebangsaan.

 

Selain itu, dia turut mewakili negaranya dari benua Amerika Selatan itu untuk tiga Piala Dunia, serta membantu Uruguay untuk menjulang Piala Copa Amerika pada tahun 2011.

 

“Ini adalah keputusan yang amat sukar.

 

“Tetapi saya merasakan sudah tiba masanya. Setiap perkara mempunyai awal dan akhir.

 

“Saya merasakan sudah tiba masanya untuk memberi laluan kepada pemain generasi baru, dan inilah masanya untuk pasukan kebangsaan untuk ke arah baru,” kata Forlan dalam satu sidang akhbar bersama kelabnya di Jepun, Cerezo Osaka.

 

Forlan pernah memenangi Bola Emas sebagai pemain terbaik Piala Dunia 2010 dan penjaring terbanyak, lima gol untuk membantu Uruguay mara ke separuh akhir di Afrika Selatan.

 

Bagaimanapun, dia berkata tidak mempunyai rancangan untuk berhenti bermain bersama kelab bola sepaknya.

 

“Saya tidak terfikit untuk bersara daripada bola sepak sama sekali,” kata walaupun menyaksikan melalui musim mengecewakan bersama Cerezo dalam Liga J musim lalu.

 

Forlan, yang pernah beraksi untuk Manchester United, Villarreal dan Atletico Madrid dalam kerjayanya yang cemerlang memegang rekod penjaring kedua terbanyak bersama Uruguay, di belakang Luis Suarez, 43 gol.

 

Penyerang lagenda ini membuat penampilan terakhirnya untuk Uruguay ketika menentang Colombia pada Piala Dunia tahun lalu di Brazil.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.