1MDB: Dewan Rakyat Tolak Penubuhan RCI

Kuala Lumpur – Dewan Rakyat hari ini menolak usul pembangkang yang mencadangkan penubuhan satu Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung dakwaan penyelewengan akaun syarikat pembangunan strategik milik penuh kerajaan, 1 Malaysia Development Berhad (1MDB).

 

Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Ismail Mohamed Said berkata keputusan tersebut dibuat kerana Yang Dipertua Dewan berpendapat usul tersebut tidak perlu disegerakan disebabkan Jabatan Audit Negara sedang menjalankan siasatan ke atas syarikat tersebut.

 

“Keputusan ini keputusan muktamad Yang Dipertua Dewan dan perkara ini tidak perlu disegerakan kerana pihak kerajaan telah meminta Jabatan Audit Negara untuk membuat siasatan dan dikemukakan kepada Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC).

 

“Beberapa jawapan lisan juga telah diutarakan dan sebentar tadi menteri sendiri telah menjawab.

 

“Sekarang ini adalah sesi untuk perbahasan titah ucapan dan Yang Berhormat sendiri dan beberapa Yang Berhormat yang lain juga telah berucap mengenai 1MDB. Kita tunggulah penjelasan daripada Menteri apabila menggulung perbahasan kita,” katanya.

 

Usul tersebut dibawa oleh Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar.

 

Mahfuz dalam maklum balasnya pula berkata, apa yang cuba dibawanya adalah berhubung isu integriti dan ketidaktelusan syarikat berkenaan.

 

“Usul itu telah ditolak hanya dengan alasan kerajaan sudah mengambil langkah untuk penyiasatan akaun 1MDB ini melalui Jabatan Audit Negara sedangkan saya mempersoalkan akhir-akhir integriti dan ketelusan jabatan itu.

 

“Saya membentangkan usul ini untuk diadakan satu Suruhanjaya Siasatan Diraja. Ini saya minta dipertimbangkan semula,” ujarnya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.