Polis Tunggu Laporan Forensik Siasat CCTV Rakam Pelajar Curi iPhone Guru

PUTRAJAYA – Polis masih menunggu laporan forensik mengenai rakaman kamera litar tertutup (CCTV) sekolah di Nibong Tebal, Pulau Pinang bagi mengenal pasti individu yang mencuri telefon bimbit seorang guru.

Ketua Polis Pulau Pinang Datuk A Thaiveegan berkata berdasarkan siasatan awal, pihaknya tidak dapat mengesahkan sama ada imej individu di dalam CCTV itu adalah pelajar tingkatan dua yang meninggal dunia selepas cuba membunuh diri tempoh hari, berikutan kualiti visual tersebut.

“Setakat ini saya tidak boleh mengesahkan…visual itu sangat sukar untuk disahkan.

“Kami memerlukan kepakaran forensik untuk meningkatkan kualiti gambar atau visual dan sehingga itu, kita perlu menunggu,” katanya ketika ditemui pemberita pada majlis perasmian Seminar Permuafakatan Pembangunan Nilai dan Sahsiah Murid di sini hari ini.

Beliau mengulas laporan akhbar yang memetik sumber polis sebagai mengesahkan rakaman CCTV sekolah yang diperoleh menunjukkan pelajar perempuan berusia 14 tahun yang cuba membunuh diri itu mengambil telefon bimbit milik gurunya.

Pelajar itu meninggal dunia pada 1 Feb lalu selepas tujuh hari dalam keadaan koma setelah menggantung diri di dalam bilik di rumahnya akibat dituduh mencuri telefon bimbit gurunya pada 24 Jan lepas.

Thaiveegan berkata laporan sedemikian boleh menjejaskan siasatan yang sedang dijalankan.

Ditanya bila CCTV itu diberikan kepada pihak forensik, beliau berkata rakaman tersebut diserahkan sejurus pihaknya memulakan siasatan.

Berhubung bila kertas siasatan kes itu akan diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara selepas tiga kertas siasatan terdahulu dipulangkan semula, Thaiveegan berkata ia bergantung kepada secepat mana laporan forensik CCTV tersebut diperoleh. – BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.