Selva Kumar Perlu Jalani Pemantauan Polis

SHAH ALAM – “Selva Kumar perlu menjalani pemantauan polis,” demikian kata bekas Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Tan Sri Zaman Khan Rahim Khan.

 

Menurutnya, Selva Kumar adalah seorang bekas pesalah yang merbahaya.

 
“Kerana kelakuan lampaunya sebelum ini, saya rasa dia (Selva) perlu menjalani pemantauan polis demi keselamatan kepada masyarakat dan wanita,” katanya ringkas ketika dihubungi Sinar Online.

 
Beliau berkata, di negara kita, mereka yang disabitkan dengan kesalahan tertentu seperti pecah rumah, curi, samun kegiatan kongsi gelap yang telah menjalani hukuman penjara boleh dikenakan hukuman kediaman terkawal (restricted residence).

 

 

Katanya, mereka diminta untuk melapor diri di balai polis yang ditetapkan selain tidak boleh keluar dari kawasan yang di tetapkan.

 

“Bagaimanapun, kesalahannya itu dilakukan di luar negara dan dia sudah pun selesai menjalani hukuman tersebut. Mungkin di Malaysia cara pemantauan yang dibuat adalah berbeza,” katanya.

 

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata lelaki berusia 56 tahun itu telah pun memberi keterangan kepada pegawai polis di Balai Polis KLIA dan pihaknya akan memantau pergerakannya semasa berada di negara ini.

 

Selasa lalu, polis telah merakam percakapan bekas perogol bersiri warganegara Malaysia, S. Selva Kumar sejurus dia tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di Sepang.

 

 

Selva Kumar yang berasal dari Pulau Pinang selesai menjalani hukuman penjara selama 24 tahun pada 1992 di Kanada setelah didapati bersalah termasuk bagi 19 tuduhan serangan seksual dan tempoh tahanan penjaranya tamat pada hujung bulan lepas.-Sinar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.