Pesawat Tentera AS, China Nyaris Bertembung

WASHINGTON – Sebuah pesawat Lockheed P-3 Orion milik Tentera Laut Amerika Syarikat (AS) hampir bertembung dengan kapal terbang tentera China di Laut China Selatan dalam satu insiden yang tidak disengajakan, kata seorang pegawai AS kelmarin.

 

Pegawai yang enggan identitinya didedahkan itu berkata, kedua-dua pesawat berada dalam jarak 305 meter antara satu sama lain ketika terbang di Terumbu Scarborough yang terletak di antara Filipina dan Tanah Besar China pada Rabu lalu.

 

Katanya, insiden seum­pamanya melibatkan pesawat AS dan China jarang berlaku dan cuma dua kejadian direkodkan sepanjang 2016.

 

Pusat Perintah Pasifik AS berkata, semasa kejadian, pesawatnya sedang dalam misi biasa dan beroperasi mengikut undang-undang antarabangsa.

 

“Pada Rabu lalu, satu kejadian yang dianggap oleh Pusat Perintah Pasifik AS sebagai ‘tidak selamat’ berlaku di ruang udara antarabangsa di Laut China Selatan membabitkan kapal terbang KJ-200 milik China dan pesawat P-3 Tentera Laut AS,” kata kenyataan itu.

 

KJ-200 merupakan kapal terbang enjin kipas dan berfungsi sebagai pesawat amaran awal. Ia direka berdasarkan reka bentuk pesawat An-12 milik negara bekas Kesatuan Soviet.

 

Di Beijing, Kementerian Pertahanan China berkata, juruterbang China terbabit bertindak balas secara “profesional dan mematuhi undang-undang” dalam insiden itu.

 

“Kami berharap pihak AS sedar tentang situasi semasa mengenai hubungan dan ketenteraan kedua-dua negara, mengambil langkah-langkah praktikal dan menghapuskan kejadian tidak diingini di udara dan di laut yang melibatkan kedua-dua negara,” akhbar Global Times memetik seorang jurucakap Kementerian Pertahanan China sebagai berkata.

 

China melaksanakan sekatan laut di Terumbu Scarborough, sebuah kawasan menangkap ikan utama, sehingga mendorong Filipina memfailkan tuntutan di Mahkamah Tetap Arbitrasi di The Hague, Belanda pada 2013.

 

Mahkamah itu menolak tuntutan China ke atas Te­rumbu Scarborough pada tahun lalu, namun Presiden Filipina yang baharu, Rodrigo Duterte berusaha untuk memulihkan hubungan dengan Beijing, manakala situasi semasa di terumbu itu kembali tenang.

 

China amat curiga de­ngan aktiviti ketenteraan AS di Laut China Selatan yang kaya dengan sumber alam.

 

Pada Disember lalu, kapal tentera laut China merampas sebuah dron kapal selam AS di Laut China Selatan dekat Filipina dalam insiden yang mencetuskan bantahan AS.

 

AS sebelum ini mengkritik tindakan China menempatkan persenjataan di beberapa pulau tuntutan bertindih di Laut China Selatan.

 

Washington juga me­ngadakan rondaan laut dan udara berjadual bagi menekankan prinsip kebebasan belayar di Laut China Selatan. – Reuters/Kosmo

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.