Megadeth Bakal Gegar Stadium Negara

Buat julung-julung kali, para peminat genre metal di Malaysia bolehlah melafazkan rasa syukur kerana salah sebuah band metal tersohor di dunia, Megadeth bakal mengadakan konsert di Stadium Negara, Kuala Lumpur yang dianjurkan oleh IME Malaysia. Ini khabar gembira untuk peminat di Malaysia yang selalu kecewa terhadap kumpulan muzik terkenal yang sering melupakan nama Malaysia dalam destinasi konsert mereka.

 

Konsert yang bakal berlangsung pada 4 Mei 2017 ini merupakan konsert jelajah daripada album terbaru Megadeth, Dystopia. Album ini telah mendapat tempat pertama dalam carta Billboard kategori Album Rock. Kumpulan Megadeth dianggap sebuah kumpulan yang berdisiplin dalam pengeluaran album sejak mereka muncul dengan album Killing Is My Business…and Business Is Good! pada tahun 1985. Sejak dari itu mereka mengeluarkan album dalam jarak 2 ke 3 tahun sekali secara konsisten.

 

Menurut tulang belakang kumpulan Megadeth, Dave Mustaine dalam temu ramah oleh teamrock.com, beliau teruja untuk mengadakan persembahan di Kuala Lumpur kerana Megadeth pernah dihalang daripada memasuki Malaysia atas kontroversi black metal beberapa tahun yang lepas di mana Megadeth telah dikaitkan dengan upacara pemujaan black metal hanya kerana terdapat tulisan Megadeth dan Slayer pada dinding. Menurutnya lagi, hanya orang berfikiran cetek mengaitkan Megadeth dengan black metal sedangkan beliau  mahu ke Kuala Lumpur setiap kali mengadakan jelajah konsert di Asia Tenggara.

 

Tiket konsert Megadeth Live In Kuala Lumpur boleh dibeli secara atas talian di www.ticketcharge.com.my dengan harga bermula daripada RM198 hingga RM428. Peminat juga boleh membeli tiket secara terus di Victoria Music, Rock Corner, Chambers Music, kedai Speedy Video yang terpilih, kaunter informasi The Mines Shopping Mall, dan Blonde Brunette. Semua tiket dikenakan yuran pemprosesan sebanyak RM4.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.