Kit Siang Pemimpin De Facto Pembangkang

KUALA LUMPUR – Penasihat DAP, Lim Kit Siang merupakan ketua umum pembangkang dan beliau bertanggungjawab membuat segala keputusan dalam Pakatan Harapan yang diketuai partinya kata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

 

Beliau berkata, DAP tidak boleh lagi cuba berselindung mengenai perkara itu memandangkan parti tersebut memiliki paling banyak kerusi dalam kalangan parti pembangkang, petik Utusan.

 

“Kit Siang merupakan ketua umum pakatan pembangkang. DAP sepatutnya berhenti menyembunyikan perkara ini. Pengundi mengetahui bahawa DAP memiliki paling banyak kerusi dan Kit Siang yang membuat semua keputusan,” katanya menerusi Twitter beliau hari ini.
Pada Jumaat lalu, Ahli Parlimen Puchong, Gobind Singh Deo membidas ahli baharu DAP, Datuk Zaid Ibrahim yang menyatakan Tun Dr. Mahathir Mohamad adalah ketua umum pakatan pembangkang.

 

Gobind menegaskan, Dr. Mahathir yang juga Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) bukan ketua umum pakatan tersebut dan menafikan wujudnya perjanjian sulit berhubung perkara berkenaan.

 

Menurut beliau, cadangan untuk menjadikan bekas Perdana Menteri itu sebagai ketua umum pakatan pembangkang tidak pernah dibincangkan atau dipersetujui dalam Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP.

 

Zaid dalam kenyataannya berkata, Dr. Mahathir merupakan satu-satunya pemimpin ketika ini yang mempunyai kewibawaan untuk menyatkan dan mengetuai pakatan pembangkang berikutan keadaan Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

 

Walaupun Presiden PKR, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail secara rasminya menge­tuai pakatan pembangkang, beliau dilihat hanya berperanan sebagai boneka memandangkan banyak keputusan melibatkan pakatan tersebut ditentukan oleh DAP.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.