Datuk Red Taubat, Elak Sakiti Lagi Hati Dua Isteri

KUALA LUMPUR — Bakal menyambut cahaya mata sulung bersama penyanyi Adira Suhaimi bulan depan, Datuk Seri Adnan Abu berjanji untuk tidak menyakiti hati kedua-dua isterinya lagi.

 

Adnan yang mesra disapa Datuk Red berkata kehidupannya kini bertambah bahagia apabila Adira bakal menambah zuriatnya menjadi enam orang kelak.

 

“Kehidupan kami bahagia sekarang, saya sudah bertaubat dan berjanji tidak mahu buat hal lagi yang menyakitkan hati mereka.

 

“Saya mahu beri perhatian kepada zuriat-zuriat saya yang sedang membesar kerana saya seorang yang terlalu sayangkan anak,” katanya seperti dilaporkan portal mStar Online.

 

Pengamal poligami ini hangat diperkatakan pertengahan tahun lalu selepas video dan fotonya bersama pelakon Ruhainies tersebar di media sosial.

 

Dalam satu foto mereka di atas eskalator, Adnan dilihat memeluk Ruhainies dari belakang ketika sedang menaiki tangga bergerak. Pelakon itu bagaimanapun menafikannya.

 

 

Suami Datin Syarifah Norshafila Hassim tahun lalu mengakui cubaan untuk mengenali lebih rapat Ruhainies terbantut selepas foto mereka tersebar di media sosial.

 

“Saya suka dengan dia walaupun dia baru dalam bidang ini. Tetapi saya tidak tahu ‘toyol’ mana yang ambil gambar itu.

 

“Orang itu pergilah cari [rakam video] Katy Perry atau Brad Pitt. Ini saya yang dia pergi cari.

 

“Bagilah orang masuk jarum dulu. Masalah betul mereka ini. Kalau tidak, akan jadilah projek itu.

 

“Bila jadi projek itu, ikatan kasih sayang tersemailah di situ. Situasi menang-menang,” katanya kepada ProjekMMO dalam nada separuh berseloroh.

 

Lebih 10 tahun berkongsi hidup dengan Norshafila atau lebih dikenali Datin Red, pasangan ini dikurniakan tiga orang anak.

 

Adnan, 39, memiliki dua orang anak sebelum perkahwinan dengan Norshafila.

 

Usahawan hartanah ini berkahwin dengan Adira di Songkhla, Thailand pada 3 Disember 2015. – MalayMail

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.