Pengkaji Barat Dakwa Bible ‘Dua Kali Lebih Ganas’ Dari Al-Quran

LONDON ― Analisis teks yang dijalankan mendapati kandungan Bible lebih banyak mengandungi unsur-unsur keganasan berbanding al-Quran.

 

Malah kajian seorang jurutera perisian mendapati Old Testament dua kali ganda lebih ganas daripada al-Quran. 

Malah, Old Testament lebih ganas daripada New Testament, lapor sebuah portal di sini, The Independent.

 

Tom Anderson membuat kesimpulan itu selepas menjalankan analisis menerusi perisian yang dibangunkannya sendiri bagi mengimbas kitab-kitab Old Testament, New Testament dan terjemahan al-Quran 1957.

 

“Projek ini diilhamkan oleh debat awam kini sama ada keganasan yang dikaitkan dengan fundamentalisme Islam berpunca khusus daripada asal ajaran Islam berbanding agama lain,” katanya seperti dilaporkan.

 

Menerusi kajian analisis kandungan itu, Anderson mengumpulkan perkataan-perkataan berdasarkan lapan emosi iaitu gembira, harapan, marah, jijik, sedih, terkejut, takut/risau dan percaya.

 

Analisisnya mendapati Bible mengandungi perkataan-perkataan berunsur “marah” yang lebih tinggi berbanding al-Quran.

 Sementara perkataan-perkataan yang berunsur “percaya” pula lebih rendah dalam Bible berbanding al-Quran, lapor portal itu lagi.

 

“Pembunuhan dan kemusnahan disebut lebih kerap dalam New Testament (2.8 peratus) berbanding al-Quran (2.1 peratus) tetapi Old Testament jelas mendahului ― lebih dua kali ganda berbanding al-Quran ― menceritakan kemusnahan dan pembunuhan (5.3 peratus),” Anderson dipetik berkata.

 

Bagaimanapun beliau juga berkata “saya ingin tegaskan bahawa kami tidak mahu membuktikan atau menolak tanggapan bahawa Islam lebih ganas berbanding agama lain.”

 

“Apatah lagi kami sedar Old Testament, New Testament lama dan al-Quran bukan satu-satunya rujukan dan bukan juga inti kesimpulan ajaran agama-agama ini,” beliau dilaporkan berkata. – MalayMail

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.